Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibidas kerana "meniaga" Islam susulan kenyataan beliau bahawa mubaligh Kristian mengumpan sasaran mereka dengan wang dan bentuk bantuan lain.

Naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun mengkritik Hadi atas dakwaan tersebut sambil menambah PAS Kelantan sendiri menawarkan insentif kerajaan kepada setiap mualaf yang baru memeluk Islam.

Chew berkata kerajaan PAS Kelantan menawarkan RM10,000 kepada setiap pendakwah Islam yang berkahwin dengan orang asli dan menukarkan agama mereka kepada Islam.

Kerajaan negeri itu juga menyediakan pendakwah Islam dengan penginapan percuma, kenderaan pacuan empat roda dan elaun tetap sebanyak RM1,000, katanya.

"Adakah kerajaan pimpinan PAS Kelantan tidak sama salah seperti tuduhan yang mereka nampak terhadap orang Kristian?" Soalnya.

Sehubungan itu , Chew mempersoalkan keikhklasan Kelantan mengembangkan Islam dan menjelaskan bahawa kaedah itu boleh ditafsirkan sebagai PAS mengambil kesempatan ke atas kaum pribumi yang kurang bernasib baik di negara ini.

Bahkan, katanya, keihklasan pendakwah dalam menyebarkan agama juga dipersoalkan kerana kelihatan mereka lebih tertarik kepada insentif yang ditawarkan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun , beliau menegaskan bahawa MCA tidak mempersoalkan kepercayaan mualaf yang memeluk Islam mahupun agama itu sendiri.

MCA katanya hanya mahukan PAS memantulkan tindakan-tindakannya sendiri sebelum cuba menyemai syak wasangka terhadap komuniti Kristian melalui dakwaan tanpa bukti.

Hadi (foto) sebelum ini dilaporkan berkata mubaligh Kristian sekarang menyasarkan Afrika di mana masyarakat di sana kurang berpendidikan dan bertamadun, serta Sabah dan Sarawak.

Ini kerana menurutnya mubaligh Kristian telah ditolak di Eropah kerana Kristian tidak lagi mudah dijual di negara-negara dengan tahap-tahap pelajaran tinggi.