Seorang pelajar yang dipukul oleh beberapa ahli MCA, termasuk seorang anggota Dewan Rakyat, ketika demonstrasi membantah pengambilan dua akhbar Cina semalam membuat aduan polis hari ini.

Ching Sze Wei, 21, melaporkan kejadian itu, sejurus sebelum jawatankuasa kuasa pusat MCA membincangkan isu pembelian Nanyang Siang Pau dan China Press , di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur jam 1 petang tadi.

Menurut aduan itu, Ching mendakwa beliau bersama empat rakannya mengunjungi pameran buku anjuran Nanyang Siang Pau di bangunan Wisma MCA.

Katanya lagi, apabila keluar dari pameran itu kira-kira jam 4.30 petang, mereka ternampak penyokong MCA sedang berkumpul berhampiran pintu masuk bangunan tersebut.

Ching berkata, pada waktu itu, beliau melihat ahli-ahli parti itu menjerit dan bertengkar dengan penyokong DAP yang berhimpun di luar Wisma MCA.

"Kerana minat, kami berdiri di tepi penyokong MCA untuk mengikuti perkembangan demonstrasi itu. Apabila penyokong MCA dan penyokong DAP saling memarahi (menuduh) antara satu sama lain sebagai 'running dog', kami berlima turut serta menjerit 'MCA running dog' (orang suruhan).

"(Datuk) Ho Cheong Sing, ahli parlimen Ipoh Barat, datang ke depan kami dan menunjukkan jari (tangan) tengahnya (sebagai isyarat lucah) ke arah rakan-rakan wanita saya dan menjerit: 'Kalau mahu jerit, pergi ke sebelah sana'," lapor Ching.

Pada masa itu, kata Ching, beliau dengan serta-merta berdiri ke depan untuk mempertahankan rakan-rakannya.

"Dalam keadaan itu, Ho menarik (saya) dan menggenggam kolar baju saya. Saya rasa sangat sakit di bahagian leher, (dan) takut nyawa saya terancam. Saya (kemudiannya) cuba menolak tangannya dari terus menggenggam kolar baju saya. Ho terus menumbuk mata saya di bahagian hidung sehingga cermin mata saya terjatuh," katanya lagi dalam aduan itu.

"Lepas itu, penyokong MCA yang lain terus mengepung saya, mereka tumbuk bahagian kepala, pipi dan dada saya," kata Ching, sambil menambah beliau menjangkakan sekurang-kurangnya tiga orang menumbuknya waktu itu.

Ditolak ke dinding

Kemudian, katanya, beliau ditolak ke tepi dinding.

"Seorang tiba-tiba muncul di depan saya sekali lagi, (dan) menuduh saya telah menumbuknya dan terus membalas satu tumbukan ke atas kepala saya. Saya tidak dapat mengenal pasti mukanya waktu itu kerana cermin mata saya telah pecah. Tetapi saya dapat cam suara itu suara Ho," kata Ching.

Polis kemudiannya berjaya meleraikan Ching daripada kumpulan yang menyerangnya itu.

Turut bersama beliau ke balai polis, ketua bahagian belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jean Lee dan pengerusi jawatankuasa membantah pengambilalihan akhbar itu (CAT), Tang Ah Chai.

Akhbar The Sun hari ini melaporkan seorang anggota Dewan Rakyat, tanpa menyebut nama, menumbuk muka seorang pelajar yang disangkakan penyokong pembangkang. Tumbukan itu menyebabkan bibir pelajar itu luka, laporan itu dipetik.

Akhbar itu juga menunjukkan foto kejadian itu di muka depan laporannya hari ini. [ Foto The Sun : pelajar, kanan]

Menurut akhbar itu lagi, sebelum itu berlaku pertengkaran antara penyokong DAP dan MCA, juga berpunca daripada tindakan wakil rakyat berkenaan.

Bagaimanapun The Star pula melaporkan wakil rakyat Ipoh Barat ditendang dan ditumbuk oleh seorang pemuda pada bahagian mukanya, dan menyebabkannya terjatuh beberapa anak tangga. Wakil rakyat MCA itu kemudiannya membuat laporan polis di balai Dang Wangi.

Dua aktivis DAP hari ini pula membuat laporan polis dan menafikan kejadian itu seperti dilaporkan The Star .

"Sekiranya kandungan laporan Ho Cheong Sing adalah sama seperti yang telah dikatakan kepada pemberita akhbar (itu), beliau telah membuat laporan palsu," kata Setiausaha DAP Selangor Wong Kok Yew dan pemimpin Pemuda parti itu Lim Ching How.

Menurut laporan agensi berita nasional Bernama hari ini, Presiden MCA Datuk Seri Ling Liong Sik menyalahkan pembangkang sebagai punca timbul perbalahan semalam.