Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor harus berdepan tindakan tegas jika dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab menyebabkan guru-guru Melayu meninggalkan sekolah itu adalah benar, kata ahli parlimen Umno, Datuk Abdul Latiff Ahmad.

Beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan untuk menyiasat prestasi serta keupayaan guru besar itu susulan dakwaan rasis yang dilaporkan berlaku di sekolah berkenaan.

“Bukan sahaja ditukarkan tetapi patut dikenakan tindakan disiplin atau tatatertib termasuk diturunkan pangkat jika terbukti beliau memaksa guru lainmeletak jawatan atau mahu memindahkan mereka tanpa alasan munasabah,” katanya kepada BNBBC.my, laman web rasmi Kelab Penyokong BN.

Sekolah rendah Cina itu terletak di kawasan parlimen Mesing yang diwakili oleh Abdul Latiff.

Minggu lepas, seorang guru Salina Daud dalam laporan polisnya mendakwa diserang oleh bapa seorang pelajar dan membuat beberapa tuduhan terhadap guru besar sekolah itu.

Guru itu mendakwa bapa pelajar itu berang apabila dia menegur anaknya kerana mengeluarkan kata-kata kesat ke atasnya dalam bahasa Cina semasa kelas.

Apabila laporan polis itu tersebar di beberapa blog, perkara itu bertukar menjadi isu perkauman.

Guru Besar telah pun dipindahkan sementara menunggu siasatan Jabatan Pelajaran Daerah.

Sementara itu, Latiff berkata beliau difahamkan bukan sahaja prestasi Bahasa Malaysia di sekolah itu merosot tetapi mata pelajaran lain yang diajar guru bukan Melayu juga merosot.

“Ini mungkin kegagalan beliau sebagai guru besar atau pentadbir sekolah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati ibu bapa menyebabkan insiden menyerang seorang guru di sekolah itu oleh bapa seorang murid,” katanya manakala BNBBC.my pula mendakwa guru besar sebelum ini hanya seorang guru muzik.

[Baca berita penuh]