Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya tidak tahu siapa nilai novel Pantai Kasih'

Salah seorang panel pemilih novel Pantai Kasih untuk pelajar tingkatan empat yang didakwa berunsur lucah tidak tahu siapa panel yang membuat penilaian terhadap teks Komponan Sastera (Komsas) itu pada peringkat awal pemilihan.

Panel tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata, ada kemungkinan novel itu dinilai oleh panel dari kumpulan yang lain.

Katanya, ini kerana terlalu banyak novel yang perlu diteliti oleh panel pemilih dan beliau hanya menjadi panel pada peringkat awal.

“Memang nama saya tersenarai sebagai panel penilai tetapi semasa sesi penilaian awal novel tersebut tidak ada dalam senarai untuk dinilai dan sekaligus saya tidak terlibat dalam proses penilaian novel itu.

“Mungkin juga ada panel pemilih yang lain yang membacanya tetapi saya tidak tahu kerana dalam setiap kumpulan mempunyai 4 panel pemilih dan mereka terpaksa menilai terlalu banyak novel dalam satu-satu masa,” katanya kepada Malaysiakini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini dilaporkan akan menemui panel pemilih novel teks Komsas yang didakwa mempunyai unsur lucah.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan dilaporkan sebagai berkata pertemuan panel pemilih dengan Bahagian Perkembangan Kurikulum bertujuan memperoleh justifikasi menyeluruh sebab pemilihan Pantai Kasih.

Turut akan dipanggil memberikan penjelasan adalah seorang guru yang dikatakan memuat naik status di media sosial berkaitan pertikaian teks sastera tingkatan 4 itu.

Faiez Ali dikatakan menulis status berkaitan novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin di Faceboook pada 11 Januari lalu.

Polemik novel itu bermula minggu lalu selepas penggunaannya sebagai teks Komsas dipersoal pengguna media sosial susulan adegan yang didakwa terdapat elemen lucah.

Pemilihannya juga dikatakan kurang menepati matlamat Komsas untuk membentuk pembangunan diri dan memupuk nilai murni di kalangan pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS