Pakatan Harapan menggesa kerajaan mendahulukan perbincangan mengubahsuai Bajet 2016 di Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini, bukannya memberi fokus kepada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ketua Whip Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad berkata perbincangan mengenai pengubahsuaian belanjawan negara bagi tahun ini lebih penting kerana ia melibatkan masalah dihadapi rakyat.

"Kami Pakatan Harapan bersetuju meminta sidang (Parlimen) ini jangan bincang TPPA lagi, supaya persoalan (mengenainya) diberi penjelasan menyeluruh.

"Maka, kami minta diadakan sidang khas membincangkan bajet yang hendak dipinda kembali," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana Petaling Jaya hari ini.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, Pakatan Harapan sudah membuat keputusan menolak TPPA.

"Walaupun banyak isu ditimbulkan, asasnya kita tolak TPPA atas sebab beberapa perkara terpenting (seperti) perjanjian merampas kedaulatan negara dalam menentukan dasar ekonomi dan hala tuju negara kita," katanya.

Khalid berkata, kesan kejatuhan harga minyak menyebabkan defisit negara melambung.

Justeru, katanya, kerajaan perlu membahaskan pengubahsuaian bajet itu di Parlimen terlebih dulu dan diluluskan.

"Soal tandatangan (TPPA), kita minta tarikhnya ditangguhkan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ( gambar ) pula berkata, impak TPPA hanya akan mengakibatkan kehilangan 700,000 pekerjaan di kalangan warganegara ini.

"Ini impak sosial negatif dan kerajaan tidak harus melihat keuntungan korporat semata-mata.

"Sesi Parlimen nanti sebaiknya digunakan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang keadaan ekonomi terkini," katanya

Ahli Parlimen Klang DAP Charles Santiago berpendapat, kerajaan Kanada juga menangguhkan permeteraian kerajaan dalam TPPA seperti dijadual di New Zealand pada 4 Februari ini.