Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta lapuk punca judi online sukar dibendung, kata polis

Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang diwujudkan sejak 50 tahun lalu menyebabkan polis sukar untuk mengatasi masalah judi dalam talian, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.

Katanya, undang-undang sedia ada dilihat lemah manakala, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah pula terlalu ringan.

"Semua sedia maklum, perjudian dalam talian ini memberikan pulangan yang banyak dan kita pula mempunyai undang-undang yang lapuk. Oleh itu, ramai pihak di luar sana tidak tahu dan anggap polis tidak buat kerja.

"Kita menggunakan akta sejak tahun 1953. Saya sendiri belum lahir lagi pada waktu itu. Hukuman yang dikenakan tidak begitu berat dan banyak kelemahan dari segi pembuktian,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan bulanan Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menggesa supaya undang-undang yang baru digubal bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemilik premis termasuk merampas atau menyita premis mereka.

"Tuan premis juga harus dipertanggungjawabkan. Sindiket sewa premis ini menjanjikan sewaan yang lebih mahal kepada pemilik premis. Sebab itu, orang suka sewakan kepada sindiket.

"Kalau undang-undang ini digubal, ia membolehkan tuan premis didakwa dan apabila disabitkan kesalahan, premisnya mungkin dirampas atau disita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS