‘TPPA tak sesuai untuk M'sia yang sarat sensitiviti’
Malaysia tidak perlu menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) kerana demografi negara tidak sesuai dengan perjanjian itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kepelbagaian negara ini perlu diurus dengan baik selaras dengan peraturan-peraturan yang tepat dan pada masa yang tepat juga.
Justeru, katanya, kerajaan tidak seharusnya diikat dengan syarat yang ditetapkan dalam TPPA.
"Malaysia tidak sama seperti anggota lain TPPA. Kita mempunyai banyak sensitiviti kerana kepelbagaian kaum, jurang ekonomi yang melebar, kadar kemiskinan dan tahap pendapatan yang rendah.
"Bagi memperbetulkan semua masalah ekonomi, politik dan sosial, dasar-dasar dan undang-undang tertentu mesti dilaksanakan. Ini bertujuan untuk mengatasi masalah dalam negeri.
"Tetapi ini tidak lagi mencukupi. Jika mereka tidak menepati syarat TPPA, ia tidak boleh diluluskan oleh Parlimen," katanya dalam kemas-kini di blog.
Beliau berkata negara mungkin terpaksa meminda beberapa undang-undang supaya ia untuk mematuhi syarat TPPA dan ini akan menghakis kedaulatan negara.
Parlimen akan mengadakan persidangan khas mengenai TPPA minggu depan untuk memutuskan sama ada Malaysia akan menandatangani perjanjian itu.

