Ramai sukarelawan hanya jadi pemerhati sahaja
Mangsa tsunami di sekitar Kuala Muda, Kedah kecewa ramai sukarelawan yang datang kononnya untuk membantu mangsa, sebaliknya sekadar menjadi pemerhati sahaja.
Mangsa tsunami di sekitar Kuala Muda, Kedah kecewa ramai sukarelawan yang datang kononnya untuk membantu mangsa, sebaliknya sekadar menjadi pemerhati sahaja.
Mangsa di situ menyifatkan kehadiran mereka sebagai menyakitkan hati dan mengkategorikan sukarelawan terbabit sebagai `orang tidak dikehendaki' di Kuala Muda.
Seorang mangsa, Hashim Ahmad,49, secara terang-terang tidak setuju dengan kehadiran begitu ramai sukarelawan tetapi tidak melakukan sebarang kerja bagi membantu meringankan beban mangsa.
"Kami mangsa tsunami tidak memerlukan orang-orang seperti ini," katanya sambil menuding jari ke arah sukarelawan yang didakwanya dari Umno Pulau Pinang yang sedang berborak sesama sendiri di Kampung Padang Salim, Kuala Muda.
Hashim tidak membenarkan rumahnya dijejaki oleh sukarelawan, sebaliknya anggota keluarganya membersihkan sendiri rumah dan kawasan sekitarnya.
"Memang ramai sukarelawan luar yang datang ke kampung kami sejak tsunami berlaku pada 26 Disember lalu, tetapi kawasan rumah kami tetap kotor dengan lumpur bencana tsunami," katanya lagi.
Terlalu ramai sukarelawan
Pada hari Ahad lalu, kira-kira 500 sukarelawan dari Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka membanjiri Kampung Padang Salim dan beberapa kampung sekitar lain untuk membantu membersihkan rumah dan kawasan sekitar yang dilanda tsunami.
Kehadiran begitu ramai sukarelawan sepatutnya dapat membersihkan kawasan kampung berkenaan tetapi keadaan di situ masih tidak banyak yang berubah.
Tinjauan malaysiakini ke kawasan tersebut Ahad lalu mendapati ramai sukarelawan yang datang tidak lebih daripada hanya mahu melihat secara dekat perkampungan yang dilanda bencana tsunami itu
Tenaga kerja seramai 500 orang itu memang terlalu ramai untuk membersihkan rumah penduduk yang berjumlah 100 buah.
Seorang lagi penduduk Jaafar Manaf, 65, berkata, kini bagaikan ada pesta di Kampung Padang Salim kerana pelbagai golongan manusia yang datang, terutama pada hari Ahad.
"Menteri, orang kaya, orang parti politik, budak sekolah dan sebagainya yang tidak pernah dilihat sebelum ini, kini datang ke kampung ini terutama sekali pada hari minggu," katanya.
Jamuan makan
Bagaimanapun, katanya, bukan semua yang datang tersebut untuk membantu kerana ramai juga yang sekadar mahu melihat sahaja.
Pada hari minggu lalu, penduduk Kampung Padang Salim terpaksa memasak empat kawah nasi dan tujuh kawah lauk daging dan sardin - yang biasanya dilakukan semasa kenduri kahwin.
Seorang tukang masak, Ismail Ali berkata, kerja memasak terpaksa dilakukan sebaik jam 10 pagi dan makanan boleh dihidangkan mulai jam 12 tengah hari.
"Beras, daging, bawang, sardin dan sebagainya adalah sumbangan Pemuda Umno Bahagian Sungai Petani dan beberapa pihak lain," katanya ketika ditemui.
Nasi akan dijamu kepada sukarelwan atau rombongan yang datang memandangkan ketiadaan kedai makan di kampung tersebut.

