Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Jawatankuasa itu juga akan memanggil bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh bagi memberi keterangan dalam prosiding pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menentukan tarikh dua individu itu akan dipanggil.

"Kita akan memanggil Bakke dan Shahrul untuk prosiding akan datang bagi dapatkan lagi beberapa maklumat.

"Kita akan bincang dengan setiausaha Dewan bila ada program Parlimen (untuk tarikh prosiding akan datang).

"Sebolehnya nak siap sebelum Mac. Kita cuba. (Tetapi) saya harap dengan panggil dua orang ini, kita boleh buat rumusan terus dan tak perlu panggil sesiapa lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan sementara parlimen hari ini.

Bagaimanapun anggota parlimen Rompin itu juga melahirkan kebimbangan sekiranya prosiding tersebut tidak dapat selesai sebelum Mac memandangkan mereka perlu memanggil kembali Shahrol serta yang terbaru, Bakke.

Ditanya apakah keperluan memanggil dua individu itu, Hassan berkata ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Selain itu, ketika ditanya apakah keperluan Bakke dipanggil memandangkan beliau hanya menjadi pengerusi 1MDB selama dua bulan, Hassan berkata ia bagi mendapatkan maklumat serta membuktikan jawatankuasa tersebut telus.

"Kita nak dapatkan maklumat betul-betul. Walaupun dia jadi dua bulan tapi masih perlu ditanya. Itulah ketulusan kita," katanya lagi.

Shahrol sebelum ini dilaporkan telah dipanggil oleh PAC pada 25 dan 30 November tahun lalu.

Ini adalah kali pertama Bakke dipanggil oleh PAC.

Sementara itu, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata beliau berpuas hati dengan siasatan oleh PAC walaupun berdepan dengan soalan yang sukar semasa prosiding itu.

Katanya, walaupun diajukan soalan sukar namun beliau dapat menjawabnya dengan baik.

"Soalannya sukar tapi saya boleh menjawabnya," katanya ketika diajukan soalan oleh pemberita.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prosiding mengenai pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB selama dua hari itu, beliau berkata:

"Saya rasa (berpuas hati). Pihak PAC kedengaran seperti berpuas hati," jawabnya.

Ditanya bila siasatan tersebut akan selesai beliau berkata lagi: "Saya dah ada di sini, saya rasa penyiasatan ini hampir selesai."

Prosiding ke atas 1MDB dijalankan oleh PAC sejak 19 Mei tahun lalu. Anggota PAC terdiri daripada lapan ahli Parlimen BN dan lima pembangkang.

PAC bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Lihat Komen
ADS