Menteri Kesejahteraan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan memfailkan saman fitnah terhadap Malaysiakini berhubung artikel bertajuk ' Minister's go-back-to kampung notion draws contempt' dan sebuah video Kinitv.

Rahman yang juga Ahli Majlis tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Kota Belud, menamakan pemilik Mkini Dotcom Sdn Bhd dan wartawan Geraldine Tong sebagai defendan.

Saman itu difailkan oleh firma guaman Raja Riza and Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Januari.

Menteri itu, yang juga Pengarah Strategi BN, mendakwa artikel Malaysiakini dan sebuah video temubual ringkas dengan orang awam adalah fitnah dan palsu dan video itu merujuk kepada beliau secara spesifik.

Beliau mendakwa artikel dan video itu membawa maksud beliau tidak peduli atas kenaikan kos sara hidup dan masalah dihadapi oleh masyarakat serta tidak sensitif kepada keadaan semasa dihadapi oleh orang ramai.

Dalam afidavitnya, Rahman mendakwa ia juga membawa maksud beliau mementingkan diri dan tidak peduli dengan kesejahteraan masyarakat dan pekerja yang berhijrah ke kawasan bandar tidak membawa kebaikan.

Rahman turut mendakwa defendan tahu penerbitan artikel itu akan menjejaskan reputasi dan kredibilitinya dan video itu disunting bagi mendapatkan komen di luar konteks bagi kepentingan defendan.
Menteri itu mendakwa ia dilakukan untuk mencari publisiti dan menjadikannya sensasi untuk kepentingan kewangan portal berita itu.

Afidavit Rahman berkata penerbitan artikel dan video itu telah menjejaskan reputasi dan maruah beliau, merendahkan kedudukannya di mata masyarakat selain mendedahkan beliau kepada kebencian awam dan menjejaskan kredibilitinya.

Beliau menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi teruk serta permohonan maaf kerana penerbitan artikel dan video berkenaan. Beliau seterusnya memohon satu injunksi menyekat defendan daripada menyiarkan artikel dan video tersebut.