Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka dibentang di Parlimen Mac ini, akan menyelaras penguatkuasaan dalam menyekat laman blog yang memfitnah institusi kepimpinan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata turut disekat ialah artikel dan catatan dalam laman sosial yang menggugat ketenteraman dan kestabilan negara serta melanggar Akta Hasutan yang diviralkan menerusi media sosial.

"Diharapkan sebaik saja dapat kelulusan daripada Peguam Negara dan kemuka kepada Kabinet, kalau ada kesempatan (pindaan) akan dibentang dalam Mac," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia 2016 di Cyberjaya semalam.

Salleh berkata pindaan tersebut akan memperjelas kuasa kerajaan dalam menguatkuasakan pelbagai akta bagi mengawal penyalahgunaan media sosial.

Ditanya mengenai blog Sarawak Report, beliau berkata walaupun laman blog berkenaan telah disekat namun pengendali laman blog berkenaan menggunakan wadah lain.

Beliua berkata pindaan yang bakal dilaksanakan membolehkan kerajaan menyekat wadah berkenaan.

"Sarawak Report terbukti asyik menyebar fitnah sahaja di mana tidak ada asas sama sekali apa yang dilaporkan. Jika tidak berbuat demikian (disekat) akhirnya rakyat juga akan terkeliru dengan benda-benda yang tidak ada asas sama sekali," katanya.

Salleh berkata mesyuarat pertama jawatankuasa menangani penyalahgunaan media sosial yang beliau pengerusikan pada Selasa turut bersetuju untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan dengan merujuk kepada 10 akta selain bahagian

penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), diterajui polis.

Sementara itu, Salleh berkata tindakan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan media sosial untuk menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan.

Beliau berkata, ini merupakan antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat sulung jawatankuasa khas yang dibentuk baru-baru ini bagi menangani isu penyalahgunaan media sosial, yang dipengerusikan beliau semalam.

Mesyuarat turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, katanya.

Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

"Mesyuarat bersetuju, bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menggunakan media sosial bagi tujuan memfitnah, menyalahgunakan atau menghasut orang lain untuk memperkecilkan kedudukan atau menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan," kata Salleh.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan juga bersetuju bahawa Polis Diraja Malaysia akan menerajui siasatan bersama-sama dengan MCMC.

"Peguam Negara telah menugaskan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang khusus bagi tujuan ini dan akan menggunakan setiap undang-undang yang ada bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya.

Salleh berkata pembentukan jawatankuasa pemantauan khas, tidak perlu disalahtafsirkan kerana ia diwujudkan bagi melindungi kepentingan masyarakat umum.

"Ia adalah perlindungan dan langkah persediaan untuk mengelak media sosial daripada menjadi punca pencetus kekacauan misalnya melalui penyebaran pembohongan, kebencian dan kumpulan pelampau agama," katanya.

Beliau berkata kerajaan serius dalam meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya penggunaan Internet, ekoran peningkatan kejadian jenayah yang semakin meningkat.

"Semakin ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada penipuan penjenayah siber dalam talian dan kerugian wang berjuta-juta ringgit daripada hasil titik peluh mereka.

"Dalam hubungan ini, kerajaan menyokong sepenuhnya penubuhan Pusat Inovasi Digital Negara," katanya.

Minggu Media Sosial Malaysia kelima dijadual berlangsung dari 7 Mac hingga 13 Mac di Kuala Lumpur.

- Bernama