Kini timbul keraguan mengenai sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengaku menerima RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Jawapannya kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik ( bawah, kanan ) dalam pertelagahan mereka di mahkamah menyatakan bahawa beliau membuat pengakuan itu.
Bagaimanapun, peguamnya Datuk Hafarizam Harun hari ini, memberitahu pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bahawa Najib menafikan dakwaan bahawa wang RM42 juta itu disalurkan ke akaunnya.
"(Anak guam saya) tidak akan memberi sebarang jawapan atau membuat apa-apa pendirian sehingga siasatan selesai.
"Bagaimanapun bagi tujuan mengulas, anak guam saya menafikan dakwaan bahawa RM42 juta daripada SRC itu dimasukkan ke dalam akaun peribadinya," kata Hafarizam.
Namun menurut jawapan yang diberikannya kepada Ling, Najib dikatakan mengakui wang berjumlah RM42 juta itu berada dalam akaunnya.
Najib berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan bahawa wang tersebut disalurkan melalui dua perantara seperti yang didakwa oleh Ling.
Najib merujuk kepada jawapan Ling yang berkata media melaporkan bahawa RM42 juta dari SRC International disalurkan kepada akaun AmPrivate Banking Najib melalui perantara - Ganding Mentari dan Ihsan Perdana.
Apabila diberitahu bahawa Najib telah mengakui menerima RM42 juta dalam jawapannya kepada Ling, Hafarizam memberitahu pemberita beliau perlu menyemak jawapan itu terlebih dahulu.
