Bantah TPPA tolak Pdg Merbok, tetap mahu Dataran
Penganjur Perhimpunan Bantah TPPA menolak tawaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya peserta yang membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik berhimpun di Padang Merbok.
Pengarah himpunan Bantah TPPA, Kamaruzaman Mohamad berkata mereka tetap dengan pendirian asal mahu berhimpun di Dataran Merdeka dan masih mahu berunding dengan DBKL.
Menurutnya, mereka bagaimanapun akan mempertimbangkan Padang Merbok bergantung kepada keadaan.
“Kita lihat pada hari tu macam mana nanti, kalau perlu ke Padang Merbok kita akan ke sana tapi buat masa sekarang kita tetap akan berhimpun di Dataran Merdeka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Rumah MTEM Bangsar hari ini.
Menurut laporan hari ini, DBKL menolak permohonan penganjur perhimpunan TPPA untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini, dan sebaliknya mencadangkan ia diadakan di Padang Merbok.
Kamaruzaman berkata walaupun hanya berbaki dua hari sebelum perhimpunan itu, pihaknya akan terus merayu kepada pihak DBKL
“Sekarang sudah 90 peratus persediaan sebelum sampai ke hari perhimpunan cuma sekarang adalah masalah lokasi, tapi kita akan terus merayu kepada DBKL,” katanya.
Katanya peserta perhimpunan tersebut akan berhimpun di empat lokasi iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, Masjid India dan Dataran Sogo pada jam 2 petang dan berarak ke Dataran Merdeka.
Manakala antara atur acara yang akan diadakan pada hari perhimpunan itu adalah ucapan daripada setiap wakil NGO dan ‘flash mob TPPA’
Acara kemuncak bantahan itu adalah penyerahan memorandum kepada semua ahli parlimen yang turut bersama dalam perhimpunan tersebut untuk disampaikan ke dalam parlimen.
“Kita ada ucapan dari wakil-wakil NGO dan wakil-wakil politik , akan ada flash mob TPPA untuk tunjuk negara hilang maruah dan kemuncak serah memorandum kepada MP untuk bawa suara suara rakyat ke parlimen bagi tolak TPPA,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan kepada peserta yang akan menyertai perhimpunan tersebut petang ini.
“Petang ini kita akan keluarkan garis panduan, antaranya tidak boleh bawa anak berusia 15 tahun ke bawah dan membawa senjata,” katanya.

