Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kerajaan cuba mengutip cukai daripada rakyat dengan melaksanakan sistem penetapan harga petrol dan diesel berasaskan harga lantai (Floor price).

Katanya, beliau terkejut membaca laporan sebuah portal semalam yang memetik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa kerajaan sedang mengkaji perkara itu.

"Pengenalan harga lantai bagi petrol dan diesel dalam keadaan harga minyak dunia terus menjunam bermaksud rakyat akan dicukai oleh kerajaan bagi pembelian setiap liter petrol dan diesel," kata Rafizi dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, sekiranya harga purata pasaran lebih rendah, rakyat akan tetap membayar harga lantai misalnya RM1.60 seliter meskipun harga sebenarnya lebih rendah iaitu RM1.50 seliter.

Katanya, perbezaan antara harga sebenar dan harga lantai sebanyak 10 sen itu merupakan cukai dikutip oleh kerajaan.

"Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara senyap-senyap merancang untuk menghalang rakyat daripada menikmati harga minyak yang rendah adalah terkutuk dan keji.

"Rakyat Malaysia sekarang sudah pun tidak dapat menikmati harga rendah yang sebenar kerana faktor kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan harga minyak kekal tinggi berbanding negara-negara lain.

"Jika sistem harga lantai ini dilaksanakan, rakyat Malaysia akan terus dinafikan hak untuk menikmati harga minyak yang sebenar," katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Menurutnya, jika sistem harga lantai ini tetap diperkenalkan, beliau akan berbincang dengan pimpinan Pakatan Harapan untuk menganjurkan demonstrasi bagi menggerakkan bantahan.