DAP: Kerajaan BN kini lebih 'sesat'
Penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar universiti dianggap sebagai langkah “membayar hutang” akibat kelemahan dasar dan perlaksanaan kerajaan dalam urus tadbir kewangan.
Ketua Pemuda DAP (Dapsy) Wong Kah Woh berkata jika kerajaan BN serius untuk berjimat di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara, terdapat cara lebih berkesan tanpa perlu “menzalimi rakyat”.
“Satu daripadanya adalah mengurangkan jumlah dan kapasiti kabinet sedia ada sekarang, yang mempunyai 37 orang menteri, yang mana 11 daripadanya adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Wong juga mempertikaikan alasan kerajaan untuk melaksanakan GST sedangkan penggantungan biasiswa itu dibuat kerana pendapatan berkurangan.
Beliau membangkitkan pengumuman kerajaan untuk mengumpul RM21 bilion hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2016.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan dua minggu lepas bahawa pelaksanaan GST akan memastikan dan membolehkan kerajaan meneruskan projek-projek atau polisi pembangunan yang mementingkan kebajikan rakyat.
“Dengan berlakunya penggantungan biasiswa JPN ini, jelas slogan BN Janji Ditepati telah sekali lagi menjadi suatu janji yang 'dicapati',” sindirnya.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning itu berkata kerajaan patut tahu bahawa pendidikan sebuah perkara yang tidak boleh digadaikan dalam apa jua keadaan.
“Jelas, polisi dan pentadbiran kerajan BN kini lebih sesat arah tujunya,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong malam tadi menafi mengesahkan bahawa biasiswa JPA telah digantung.

