Satu kaji selidik atas talian yang dijalankan oleh Pemuda Gerakan mendapati bahawa sebahagian besar rakyat menyokong negara menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Daripada 1,499 responden yang ditinjau itu, seramai 1,107 iaitu hampir 75 peratus mengundi bahawa TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia.

"Terdapat sokongan menggalakkan bagi TPPA. (Tetapi) kita tidak boleh nafikan ada juga yang tidak bersetuju.

"Walaupun jumlah mereka kecil, kita tidak boleh abaikan mereka," kata Ketua Biro Undang-undang Pemuda Gerakan Chai Ko Thing pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Selepas kajian itu selesai, Chai berkata satu analisis lanjut diadakan dan pihaknya membuat kesimpulan bahawa kebanyakan mereka yang tidak bersetuju sebenarnya tidak memahami sepenuhnya kesan dan tujuan perjanjian itu.

"Mungkin ia terlalu kompleks atau teknikal, menyebabkan orang ramai tidak memahaminya," katanya.

Chai mencadangkan agar Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) mempermudahkan penjelasan mereka mengenai TPPA supaya orang ramai dapat memahami dengan lebih baik.

Kajian itu dijalankan melalui lamanweb bettermalaysiapoll.org dan bermula 4 Januari lalu.

Chai berkata kaji selidik itu terbuka kepada sesiapa sahaja tetapi setiap peranti yang digunakan hanya boleh mengundi sekali sahaja.

[Baca berita penuh]