Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan siar spekulasi Bashah bakal MB Kedah
Diterbitkan:  Jan 22, 2016 3:12 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan spekulasi bahawa Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan dilantik sebagai menteri besar Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Memetik sumber, Utusan melaporkan Ahmad yang juga merupakan ADUN Bakar Bata dikatakan mendapat sokongan padu daripada pemimpin Umno dan sebahagian besar wakil rakyat di negeri itu.

Akhbar itu turut melaporkan pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah dijangka dilakukan selewat-lewatnya akhir bulan ini dalam usaha pucuk pimpinan menyelesaikan segera kemelut politik di negeri itu.

Sumber itu juga menjelaskan Ahmad Bashah dilihat calon paling layak untuk menggantikan Mukhriz berikutan kedudukannya yang paling kanan dan pernah menjadi pengerusi perhubungan Umno negeri.

Selain Ahmad Bashah, ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar antara tiga Ahmad yang disebut sebagai calon menteri besar.

Bagaimanapun Ahmad Bashah ketika dihubungi memberitahu masih terlalu awal untuk memberikan reaksi berhubung perkara itu, lapor akhbar tersebut.

Kelmarin, Ahmad Bashah mengetuai sebahagian pemimpin Umno Kedah memulakan perang terbuka dengan mengisytiharkan bahawa mereka telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar.

Desakan itu dibuat selepas mesyuarat pemimpin tertinggi Umno Kedah yang diadakan tanpa kehadiran Mukhriz.

Antara mereka yang hadir ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS