Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum hari ini mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya menimbang secara serius penubuhan sebuah tribunal untuk mengendalikan kes tanah Hak Adat Pribumi (NCR).

Beliau berkata mahkamah di Sabah dan Sarawak kini dibebani banyak kes tanah NCR yang memerlukan banyak masa untuk diselesaikan.

"Ia suatu proses yang merenyahkan serta melibatkan banyak saksi serta jurubahasa kerana masalah dialek," kata beliau, sambil menjelaskan bahawa Sabah sahaja mempunyai lebih 45 dialek yang dapat dikenal pasti, manakala Sarawak mempunyai lebih banyak lagi.

Berucap merasmikan Tahun Undang-undang Sabah dan Sarawak 2016 di Kompleks Mahkamah Sibu hari ini, Malanjum berkata anggota tribunal yang dicadangkan itu perlulah turut terdiri daripada mereka yang berpengetahuan mengenai tuntutan tanah pribumi.

Sebagai opsyen kepada penubuhan tiribunal itu ialah penyusunan semula Mahkamah Bumiputera/Pribumi, dengan para hakimnya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam mengendalikan tuntutan dan pertikaian mengenai tanah pribumi.

Dua puluh kes baru didaftarkan di Sarawak tahun lepas, dengan Sibu dan Kuching mencatat jumlah terbanyak iaitu masing-masing tujuh kes, manakala Miri dan Bintulu masing-masing tiga kes.

Sebanyak 20 kes diselesaikan tahun lepas dan 28 lagi masih tertangguh.

Di Sabah pula, 10 kes baru didaftarkan tahun lepas, manakala lima kes masih tertangguh.

Malanjum berkata kes tanah NCR bukan sahaja melibatkan isu undang-undang, tetapi juga unsur budaya dan tradisi atau dimensi yang memerlukan seseorang itu merupakan sejarawan, ahli antropologi, pewasitah dan kadangkala, ahli politik separuh masa untuk mengendalikannya.

"Jika dua unsur terakhir itu diabaikan, maka pribumi tidak akan gembira dan mungkin mengadakan upacara 'Miring' di premis mahkamah serta tidak akan menerima sebarang keputusan mahkamah, walaupun ia mungkin mematuhi undang-undang sepenuhnya," kata beliau.

Malunjun berkata Mahkamah Pribumi boleh diberi kedudukan yang sama seperti Mahkamah Syariah dan diletakkan di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

- Bernama