PERKASA mengucapkan 'semoga berjaya' kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak lama lagi.

Ucapan itu disampai Pengerusi Biro Ekonomi PERKASA, Datuk Ruhanie Ahmad selepas sidang meja bulat mengenai TPPA yang dihadiri kira-kira 40 pakar dalam pelbagai bidang di Kuala Lumpur lewat petang ini.

"Keadaan kepimpinan Datuk Seri Najib tengah goyang, semoga berjayalah," sindirnya.

Mengulas lanjut Ruhanie berkata PERKASA bimbang masa depan negara bakal berubah sebaik sahaja TPPA dimeterai.

Katanya, ini kerana rakyat akan menterjemahkan kekecewan mereka melalui pilihan raya umum (PRU) dan sekali gus akan menjatuhkan kerajaan.

"Kita tak mahu lihat kerajaan kita runtuh hanya kesilapan menandatangani TPPA," katanya.

Menurut Ruhainie, Malaysia mempunyai peluang sehingga hujung 2016 untuk menangguhkan perjanjian berkenaan sebelum memutuskan untuk meneruskannya atau sebaliknya.

"Kita bukan nak suruh tolak tetapi kita minta mereka kaji secara holistik dan komprehensif. Selepas itu barulah kita putuskan untuk tolak ke tidak," ujar Ruhainie.

Tambahnya pihaknya juga tidak menyalahkan kerajaan secara membabi buta tetapi cuba mencari jalan penyelesaian terbaik kerana tidak mahu mereka melakukan kesilapan.
Sementara itu, sidang meja bulat anjuran kumpulan pendesak Melayu ini juga sekali lagi menggesa kerajaan dan Yang DiPertuan Agong mewujudkan sebuah suruhanjaya bebas diraja bagi mengkaji perjanjian itu.

Pada masa sama mereka juga menuntut dewan rakyat dan dewan negara menangguhkan kelulusan terhadap dokumen rasmi TPPA.

"PERKASA (juga) menggesa kerajaan Malaysia tidak menandatangani dokumen rasmi TPPA sebelum permasalahan ini dimuktamadkan oleh suruhanjaya bebas diraja," katanya.