MCA Negeri Sembilan telah menyerahkan senarai calon bagi dipertimbangkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui.

Beliau berkata senarai itu yang menggabungkan muka baru dan lama diserahkan kepada kepimpinan tertinggi MCA untuk dibuat penilaian sebagai persediaan awal untuk menghadapi PRU14.

"Langkah ini selain daripada persediaan awal menghadapi pilihan raya, saya juga merasakan pengumuman awal calon yang akan bertanding juga dapat mengurangkan konflik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan bersempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 8 Februari ini, di Seremban hari ini.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini berkata MCA membuat persiapan awal bagi menghadapi PRU akan datang dengan menyenaraikan lebih awal calon akan bertanding sebagai langkah meraih kembali sokongan masyarakat Cina.

Dalam majlis itu, sebanyak 100 keluarga yang kurang bernasib baik dari Kuala Pilah, Jelebu, Bahau dan Tampin menerima sumbangan 'Ang Pow dan barangan makanan anjuran Wanita MCA Negeri Sembilan.

- Bernama