Kem Kesihatan juga alami potongan bajet
Kementerian Kesihatan antara pihak yang terlibat dengan pemotongan bajet akan datang, kata menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Katanya, walaupun perkara itu adalah hak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, tidak ada tanda-tanda awal kementerian itu akan terkecuali daripada langkah penjimatan dilakukan kerajaan.
Jelasnya, kementerian kewangan telah diberi penerangan mengenai sektor yang boleh dikenakan pemotongan belanjawan dan sebaliknya.
"Kami tidak terkecuali. Saya tidak tahu, saya perlu menunggu dia (Najib) umumkan, tetapi tanda-tanda awal menunjukkan kementerian kesihatan juga akan mengalami (penyelarasan belanjawan) seperti kementerian lain di negara ini [...]
"Perkhidmatan kesihatan asas tidak akan terjejas oleh sebarang pemotongan, tetapi bagi sektor lain kita akan kurangkan sebanyak yang boleh," katanya dalam sidang akhbar di Batu Caves, Selangor hari ini.
Najib dijadual memperkenalkan langkah-langkah penjimatan semasa semakan bajet yang akan diumumkan pada 28 Januari ini.
Langkah itu dibuat ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia yang menjejaskan pendapatan negara.

