Laman BN dakwa peserta anti TPPA dirasuah RM30
Seorang pengarah sebuah NGO yang menyokong mangsa HIV dituduh melakukan rasuah dengan memberikan RM30 kepada setiap pesakit yang menghadiri himpunan membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) Sabtu lalu.
Edward Low, yang mengetuai
Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group
(MTAAG+), dituduh berbuat demikian oleh laman Facebook BN
'Friends of BN'
, selepas video menunjukkan wang tunai diedarkan kepada para peserta.
"Amalan suap menyuap oleh puak-puak yang kononnya perjuangkan ketelusan, amanah dan anti rasuah.
"Agihan upah kepada peserta yang menyertai himpunan bantah TPPA," tulis laman itu.
Bagaimanapun, perunding Majlis Aids Malaysia, Fifa Rahman menjelaskan bahawa video yang menunjukkan Edward Low mengedarkan RM30 kepada pesakit yang menghadiri perhimpunan tersebut, sebagai "kos sara hidup".
"Betul-betul sedih apabila sokongan kesihatan awam bagi membantu kos sara hidup untuk peserta perhimpunan TPPA dituduh sebagai rasuah," tulisnya di laman Facebook beliau.
Beliau berkata agihan RM30 itu diperoleh daripada geran organisasi untuk sokongan kesihatan awam.
"Lihatlah T-shirt yang mereka pakai, ia bertulis 'HCV positif. Saya rasa benar-benar sedih kerana pesakit-pesakit ini difitnah seperti ini.
"Untuk maklumat anda, ubat HCV sofosbuvir adalah AS $ 84,000 selama dua belas minggu rawatan," kata aktivis itu menulis di laman Facebooknya.
HCV sufosbuvir adalah ubat preskripsi digunakan dengan ubat-ubatan anti-virus lain untuk merawat jangkitan kronik hepatitis C pada orang dewasa.
Malaysiakini sedang menghubungi Low berhubung perkara itu.

