DAP anggap bangunan baru DUN terlalu mewah dan membazir
DAP sedang mengedarkan beribu-ribu risalah di bandaraya Kuching bagi membantah perbelanjaan yang dianggapnya "terlalu mewah dan membazir" bagi pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru.
DAP sedang mengedarkan beribu-ribu risalah di bandaraya Kuching bagi membantah perbelanjaan yang dianggapnya "terlalu mewah dan membazir" bagi pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru.
Melalui risalah tersebut, parti pembangkang itu menggesa supaya dibatalkan projek bernilai RM300 juta itu, yang kini dalam pembinaan di tebing utara Sungai Sarawak.
Peruntukan tersebut, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, boleh digunakan untuk melaksanakan banyak lagi projek berfaedah yang lain.
Chong, yang juga Setiausaha DAP Sarawak, bersama penyokong parti itu telah mengedarkan kira-kira 8,000 risalah tersebut di bandaraya Kuching sejak bulan lalu.
Malam tadi, beliau dan penyokong parti itu melawat sebuah kawasan besar kediaman BDC dan pusat membeli-belah Plaza RH dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, untuk mengedarkan risalah tersebut.
"Tujuan utamanya ialah untuk menimbulkan kesedaran (di kalangan rakyat) mengenai sikap kerajaan yang mewah berbelanja dan membazir," katanya ketika ditemui.
Beberapa juruperunding telah berkata, berikutan perubahan dan variasi terhadap pelan asalnya, kos bangunan baru ini akan membabitkan perbelanjaan antara RM400 juta dan RM500 juta wang rakyat.
Pengangungan peribadi
Chong mempersoalkan apakah perlunya projek mahal seumpama itu, yang didakwanya tidak memberi sebarang kegunaan tambahan, berbanding bangunan DUN sedia ada yang dibina pada tahun 1970-an.
"Bezanya hanyalah, bangunan baru hanya menjadi simbol pengagungan peribadi seseorang individu," katanya yang jelas merujuk kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Patinggi Taib Mahmud yang mencadangkan pembinaan bangunan baru itu.
Pemimpin DAP itu berkata, antara tahun 1998 dan 2003, DUN bersidang tidak lebih daripada 20 hari dalam tempoh setahun. Pada 2002, dewan hanya bersidang 12 hari dan sidang paling lama ialah pada tahun 2001 (20 hari). Tahun lalu, DUN bersidang kurang daripada tiga minggu.
Sebaliknya, kata Chong, wang yang diperuntukkan untuk bangunan baru itu boleh digunakan untuk membina terusan mencegah banjir bagi mengakhiri kebimbangan penduduk Kuching yang sering dilanda banjir.
Menurutnya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan, dalam beberapa ucapannya, menganggarkan pembinaan terusan tersebut ialah RM300 juta.
Ataupun, katanya, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membina 9,000 rumah kos rendah.
Dan ianya juga, kata beliau lagi, boleh digunakan untuk memberi bantuan kewangan tahunan kepada sekolah rendah dan menengah Cina atau meningkatkan lagi subsidi untuk petrol dan diesel untuk menurun kos hidup rakyat.
Selain itu, katanya, wang tersebut juga boleh digunakan untuk membina dua lagi jambatan 'Tun Salahuddin' tanpa dikenakan sebarang tol.
(Jambatan Tun Salahuddin di Tanah Puteh adalah jambatan kedua di Bandaraya Kuching yang mengenakan bayaran tol).
Chong juga berkata, wang tersebut juga boleh digunakan untuk menambah peruntukan kewangan majlis perbandaran, membantu mengurangkan cukai taksiran tahunan dan untuk meningkatkan lagi kecekapan majlis tersebut.
Malah, katanya, jumlah sebesar itu juga boleh digunakan untuk meningkatkan keupayaan pasukan polis atau memberi subsidi kepada 1,000 pelajar perubatan di negara ini.
-----------------------------------------------------------------------------
TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak

