Persidangan Dewan Rakyat untuk membahaskan Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) selama dua hari bermula hari ini.

Sepanjang tempoh itu ahli parlimen akan membahaskan sama ada negara menerima atau menolak cadangan menandatangani perjanjian kontroversi berkenaan.

Di pihak kerajaan, sidang khas itu dianggap sebagai satu contoh bagaimana demokrasi diamalkan di Malaysia, namum pembangkang sebaliknya melihat ia sekadar sandiwara.

Jumlah ahli parlimen BN adalah melebihi pembangkang dan mereka diarahkan untuk mengikut ketetapan supaya menerima cadangan menerima TPPA.

TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas dengan AS menjadi watak utama dan disertai 12 negara Asia serta negara yang terletak dalam lingkaran Pasifik.

Pengkritik bimbang pelaksanaan TPPA akan mematikan perniagaan tempatan serta mengancam kedaulatan negara ekoran peruntukan dalam perjanjian berkenaan membenarkan syarikat asing menyaman kerajaan jika ada tindakannya menyebabkan kerugian.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbahasan berkenaan.

2.55pm: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerajaan patut menumpukan usaha untuk mempertingkat status ekonomi bumiputera dan bukannya membantu menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat.

Beliau berkata golongan bumiputera ketinggalan kerana pengurusan sumber manusia yang buruk.

12.50pm : MP Simpang Renggam, Liang Teck Meng (BN), mengatakan Malaysia perlu keluar daripada kebimbangan pelaksanaan TTPA.

"Kita tidak perlu 'kiasi' (mahu mati), kita harus 'kiasu' (enggan mengalah)," kata Liang menggunakan kiasan Cina yang biasa digunakan untuk mengekspresi daya saing dan sifat melawan pihak lain.
Menurut beliau, dengan bersifat 'kiasu', kemajuan Malaysia tidak akan ketinggalan seperti mana Singapura, Vietnam dalam aspek pembangunan ekonomi.

(BN-Putatan), Marcus Mojigoh, kemudian menyasarkan kepada pembangkang kerana bersikap talam dua muka kepada AS.

"Sesuatu hal kamu cari bantuan AS, tetapi untuk ini (TTPA) kamu mengutuk AS. Kenapa suka main belakang? (mengapa pilih menggunakan pintu belakang)," kata Marcus.

Perkara itu dilihat menjadi 'pukulan' kepada PKR yang berusaha mendapatkan campur tangan AS untuk menjamin kebebasan Anwar Ibrahim, yang kini dipenjara berkaitan kes sodomi.

12.40pm - Lim Guan Eng (DAP - Bagan) mengumumkan DAP menolak keseluruhan TPPA dan berkata rakyat tidak yakin harga ubat-ubatan tidak akan naik apabila negara menandatangani perjanjian berkenaan.

"Kita sebelum ini diberitahu harga barangan tidak akan naik apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Ini terbukti tidak benar.

"Jika kita tidak boleh percaya GST, TPPA lagilah tak boleh," katanya.

Sementara itu Khalid Samad (AMANAH - Shah Alam) mengecam Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali (BN) yang berkata kerajaan akan campur tangan jika harga ubat-ubatan naik.

"Kerajaan tidak boleh campur tangan dalam perdagangan bebas. Nampaknya Ahli Parlimen BN tidak memahami TPPA walaupun mereka mendakwa memahaminya," kata Khalid.

Terdahulu Lim dalam ucapannya memuji Mustapa walaupun tidak sependapat dengan menteri berkenaan.

"Saya puji kepakaran Tok Pa (Mustapa), walaupun kita tidak bersetuju dengan beliau, tetapi sekurang-kurangnya beliau bercakap menggunakan otak.

Bagaimanapun Ketua Menteri Pulau Pinang itu bimbang terhadap kemampuan negara melaksanakan TPPA kerana katanya, tiada orang lain dalam kabinet yang memahami perjanjian berkenaan selain Mustapa.

12.00pm - Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mewakili penyokong BN berkata ada peruntukan dalan TPPA yang membenarkan negara keluar daripadanya selepas memberikan notis enam bulan.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad menjelaskan bagaimana ahli parlimen BN sendiri ragu-ragu terhadap TPPA.

"Bagaimanapun melalui badan perundingan parlimen mengenai TPPA, segalanya dijelaskan," katanya.

Malah kata Ahmad, usul yang dibentangkan di parlimen hari ini adalah hasil daripada cadangan yang dibuat majlis perundingan berkenaan.

11.15am - Ketua pembangkang Wan Azizah menggesa Ketua Whip BN mengarah dan membenarkan semua ahli parlimen BN untuk mengundi mengikut kata hati masing-masing, selain undian dibuat secara rahsia.

"Jika kita boleh berunding tentang TPPA secara rahsia maka kita boleh membenarkan ahli parlimen mengundi secara rahsia.

"Mengapa perlu tergesa-gesa menandatangani TPPA? Kita menandatangani perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 dan hanya membincangkan pelaksanaannya selepa 50 tahun dan sebelum pilihan raya negeri Sarawak," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kemudian menyamakan TPPA dengan projek penswastaan.

"Jika kita menyokong usul ini, maka kita sebenarnya menyokong penswastaan kedaulatan negara kepada firma-firma berkenaan," katanya.

Dr Wan Azizah juga menyeru supaya diadakan pungutan suara untuk mendapatkan pandangan rakyat sama ada TPPA perlu diterima atau tidak.

Kata beliau, langkah itu perlu dibuat supaya rakyat sendiri boleh menentukan sama ada mereka mahu "dijajah" atau sebaliknya.

11:00am - Selepas Mustapa menamatkan pembentangannya Hanipa bangkit untuk bertanyakan sama ada sesi khas parlimen hari ini dan esok sekadar membahaskan sama ada TPPA akan ditandatangani atau tidak, atau turut membuka ruang untuk megesahkannya.

"Saya difahamkan negara lain tidak menandatangani dan mengesahkan TPPA pada masa yang sama, seperti Kadana," katanya.

Speakear Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun memutuskan tidak perlu untuk kementerian menjelaskan persoalan itu pada waktu ini kerana isu berkenaan boleh dibangkitkan ketika perbahasan dan dijawan ketika penggulungan menteri.

Pandikar kemudian memperuntukkan masa 30 minit kepada ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta wakil penyokong kerajaan membahaskan usul berkenaan.

Katanya 15 ahli parlimen dari BN dan pembangkang kemudian boleh berbahas - untuk menentukan TPPA ditandatangani atau tidak - selama 20 minit setiap seorang.

10.40am - Mustapa membawa beberapa alat bantuan untuk menyokong hujahnya supaya TPPA diterima sebagai cara ahli perniagaan Malaysia menembusi pasaran AS serta Kanada.

Antara bahan bantu yang dibawa Mustapa ialah kotak fius, sepasang seluar sukan dan tangan palsu dengan sarung tangan getah untuk menunjukkan bagaimana sektor automotif, elektronik dan tekstil negara boleh dihual di Amerika Utara.

"Dengan TPPA cukai eksais (sebanyak lima peratus) atas 99.8 peratus produk elektrik dan elektronik akan dihapuskan serta merta.

"Cukai import untuk produk tekstil pula akan dikurangkan sehingga 70 peratus dan menggalakkan eksport bahan berkenaan sebanyak 30 peratus," katanya.

10.30am - Mustapa berkata jika pembangkang menolak TPPA, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) dan Datuk Seri Azmin Ali (PKR-Gombak), perlu menutup InvestPenang dan InvestSelangor.

Alasannya adalah kedua-dua agensi itu juga menjadi mekanisme untuk menarik pelabur asing - sama seperti TPPA.

Menurut Mustapa Malaysia juga boleh berjaya seperti Singapura dengan menerima TPPA.

Keyataan itu disambut Hanipa Maidin (AMANAH - Sepang) yang berkata: "Singapura tak ada Umno!"

10.15am - Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan dan dua yang lain mengedarkan kertas dasar cadangan pertubuhan mengenai TPPA itu kepada ahli parlimen.

Pengurus Ekonomi Politik Ideas, Sri Murniati berkata mereka berharap ahli parlimen akan memasukkan kandungan dalam dokumen diedarkan itu dalam perbahasan nanti.

"Kami berpendapat TPPA boleh menyumbang kepada urus tadbir lebih baik dari segi ketelusan," katanya sambil menambah kerajaan wajar menandatangani perjanjian berkenaan.

Pihak keselamatan membenarkan pegawai Ideas berada di lobi parlimen untuk mengedarkan 150 salinan dokumen itu.

10.10am - Datuk Seri Najib Abdul Razak membuat kemunculan bersama timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul supaya sidang hari ini ditamatkan pada jam 7 malam dan diluluskan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad kemudian membentangkan usul untuk membahaskan TPPA.

Usul itu adalah sama ada parlimen bersetuju pembabitkan Malaysia dalam TPPA akan mengukuhkan "daya saing di peringkat serantau dan global" jika menyertai TPPA.

Ia, kata beliau, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka.

Usul itu juga menggesa semua pihak bekerjasama untuk mencapat matlamat TPPA.