Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan menjadi dalang atau pak turut dalam gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Malah tegasnya beliau tidak menerima arahan dari sesiapa sebaliknya merasakan hilang keyakinan ke atas kepimpinan Mukhriz, lapor Utusan Malaysia.

“Tidak! Saya tidak menurut arahan sesiapa kerana ini yang kami rasa sebagai pemimpin Umno Kedah. Takkan kita nak ikut orang-orang lain dari Kedah.

“Saya tiada masalah peribadi dengan Mukhriz, beliau orang baik kalau kata ada masalah peribadi dari dulu kita tidak terima beliau.

“Kita buat kerja macam nak ‘rak’ untuk bantu BN Kedah. Bukan itu sebabnya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apa peranan beliau, sama ada dalang atau pak turut dalam usaha menyingkirkan anak bekas perdana menteri itu.

Kata Ahmad lagi, beliau sendiri sudah lama hilang keyakinan terhadap Mukhriz malah berkata, ramai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua bahagian yang telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyampaikan perkara tersebut.

“Sudah lama kita rasa, yang tidak rasmi kita sudah beritahu pada timbalan presiden parti dulu, tetapi kita ada tatasusila.

“Bukan itu sahaja ramai ADUN yang sudah pergi dekat perdana menteri untuk memberitahu perkara ini. Ramai ADUN kata sukar untuk pergi dekat dengan menteri besar.

“Lama-kelamaan kita dapat aduan bahawa orang kata semakin susah untuk jumpa Mukhriz, mungkin pegawai-pegawai dia yang sebabkan hal ini berlaku dan Mukhriz sendiri tidak tahu hal ini semakin merenggangkan dia dengan ketua bahagian.

Ahmad ketika ditanya terdapat pihak yang menganggapnya sebagai ‘orang jahat’ dalam parti berkata:

“Itu terpulang. Saya tak pernah marah dekat orang, sebagai orang parti kami bertanggungjawab pada parti dan rakyat.

“Tak apa saya dikata jahat, saya berkorban demi parti untuk kita menang. Yang pasti perubahan perlu berlaku dan saya tidak kisah walau siapa sahaja dipilih jadi menteri besar,” beliau dilaporkan sebagai berkata.