Lim persoal konflik kepentingan libatkan AG
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bimbang peguam negara tidak sesuai membuat keputusan mengenai kertas siasatan berhubung kes kontroversi SRC International dan derma RM2.6 bilion yang dikemukakan oleh SPRM.
"Adakah Apandi melakukan konflik kepentingan apabila dia membuat keputusan bahawa Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dalam skandal RM2.6 bilion dan SRC? soalnya ketika ceramah di Tongkang Pecah, hari ini.
"Apandi sepatutnya menarik diri daripada proses membuat keputusan mengenai apa tindakan yang perlu diambil ke atas kertas siasatan SPRM mengenai 'derma RM2.6 bilion Najib dan skandal SRC kepada peguam cara negara," hujah ahli parlimen Gelang Patah.
Ini kerana katanya berlaku keadaan paling luar biasa apabila Apandi dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan itu selepas bekas AG, Datuk Seri Gani Patail melepaskan jawatan pada 28 Julai tahun lepas atas faktor 'kesihatan'.
Spekulasi berterusan pemecatan Gani, pelantikan tiba-tiba Apandi dan pembabitan peribadi perdana menteri dalam siasatan rasuah, hujah Lim, menjadi alasan untuk AG menarik diri.
Lim juga mendakwa pengumuman Apandi bahawa tiada pendakwaan terhadap Najib bertentangan dengan kenyataan pegawai-pegawai SPRM, yang menekankan beberapa kemungkinan pendakwaan.
Beliau merujuk kenyataan Apandi hari ini yang mengiystiharkan tiada pendakwaan jenayah akan dibuat terhadap Najib dengan mendakwa siasatan SPRM tidak menunjukkan sebarang kesalahan, dan kes itu ditutup.
SPRM sebelum ini menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC untuk pergerakan kewangan yang janggal serta derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akuan peribadi Najib.

