Firma AS boleh saman Malaysia macam LA Law
Malaysia berisiko untuk disaman syarikat dari AS selepas negara ini menandatangani Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik, kata ahli parlimen PKR hari ini.
Menurut Wong Chen, kemungkinan itu memang ada kerana firma di AS gemar menyaman mana-mana pihak yang merugikan mereka, seperti terpapar dalam siri drama televisyen LA Law .
Membahaskan usul mengenai TPPA di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kelana Jaya itu berkata, keputusan sama ada firma asing akan menyaman Malaysia atau tidak bergantung kepada sikap pihak yang berkenaan.
"AS membawa sikap suka menyaman orang. Apabila kita menonton televisyen, kita nampak LA Law.
"Hingga sekarang kita tidak menandatangani sebarang penyelesaian pertikaian dengan pelabur AS, maka tidak ada banyak kes (mengenainya).
"(Bagaimanapun selepas perjanjian ditandatangani) AS tidak akan teragak-agak menyaman kita," katanya.
Sebelum ini, kata Wong, Malaysia hanya pernah disaman dua kali oleh firma AS dan syarikat negara ini juga pernah menyaman syarikat asing sebanyak dua kali.
"Syarikat AS percaya kepada ikatan perjanjian kontrak dan akan mengemukakan saman secara membuta tuli," katanya.

