Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) bersetuju dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Bagaimanapun, mereka mahu satu bab dalam perjanjian itu yang memberi kelonggaran kepada penubuhan kesatuan sekerja termasuk warga asing menjadi pemimpinnya dikaji semula.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, perkara tersebut hendaklah dikaji semula memandangkan warga asing tidak memahami apa yang dikehendaki oleh rakyat di negara ini.

“Cuma satu bab dalam 30 bab yang ada dalam TPPA tentang persatuan sekerja (tidak setuju) dan kita yakin persatuan persatuan yang lain juga bawah naungan kita, tidak setuju…

“Iaitu warga asing mengetuai mana mana kesatuan sekerja dalam negara kita. Yang ini kita minta dikaji oleh kerajaan.

“Dia tidak tahu apa yang dikehendaki oleh rakyat negara kita, tidak mungkin seorang warganegara lain boleh memahami hati nurani rakyat kita. Dia tidak memahami soal adat resam, soal budaya negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Penguatkuasaan Sektor Awam di Bangunan CIDB di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata perjanjian TPPA akan memberi kelonggaran kepada penubuhan kesatuan sekerja termasuk warga asing menjadi pemimpinnya.

Mustapa berkata walaupun perkara itu akan memberi tekanan kepada majikan tetapi ia untuk kepentingan pekerja.