Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Berkaitan isu Datuk Seri Najib Razak dalam skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

Pelik #1

Apakah penambahbaikan atau penemuan baru dalam kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terbaru kepada peguam negara sehingga peguam negara dapat bertindak seperti hakim negara membuat deklarasi untuk tidak mendakwa perdana menteri semalam, tetapi tidak 10 hari lalu?

Pelik #2

Peliknya, jika 10 hari lalu, SPRM mendapati perdana menteri tidak melakukan sebarang jenayah, mengapakah peguam negara tidak mengumumkan perdana menteri "bersih" ketika itu?

Sebaliknya, jika 10 hari yang lepas SPRM mendapati perdana menteri mungkin telah melakukan jenayah tiba-tiba menukar nada dalam laporan terbaru dan mendapati perdana menteri tidak bersalah, mengapa peguam negara tidak menghantar semula kertas siasatan kepada SPRM untuk mencari punca perbezaan hasil penyiasatan yang begitu ketara?

Bukankah itu lagi pelik?

Peliknya, mengapa kertas siasatan yang membersihkan perdana menteri pula diterima bulat-bulat tanpa meminta siasatan lanjut dibuat?

Pelik #3

Peguam negara tidak menolak pelantikan sebagai anggota Lembaga Tabung Haji (LTH) yang boleh dipandang serong oleh masyarakat.

Ini pelik. Apakah beliau tidak sensitif mengenai pentingnya jawatan peguam negara dilihat bebas ataupun beliau pun tidak cukup makan sehingga perlukan #2kerja?

Pelik #4

Peguam negara menyatakan perdana menteri telah memulangkan RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion kepada pendermanya.

Peliknya, peguam negara langsung tidak nyatakan dan mengambil kisah bagaimana RM570 juga telah dihabiskan perdana menteri. Apakah SPRM juga tidak menyentuh bab ini?

Pelik #5

Lembaga Tabung Haji (LTH) semalam menegaskan bahawa ia tiada masalah kewangan. Malah, LTH mengingatkan para pendeposit, bahawa nilai aset Tabung Haji mestilah mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji.

Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan “tidak mengambil kira portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki Tabung Haji.”

Peliknya kita mengikut logik Tabung Haji, bukankah Bank Negara Malaysia boleh dikira sebagai menyibuk dalam menghantar satu surat kepada LTH bagi menyatakan nilai aset LTH lebih rendah daripada liabiliti jika Tabung Haji tidak mengalami masalah?

Pelik #6

Lagi pelik kalau pakar-pakar dalam Bank Negara Malaysia terlupa mengambil kira “portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki Tabung Haji” ketika menghantar surat amaran sebegitu penting kepada kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan diserahkan juga kepada Najib dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail?

Atau sememangnya Bank Negara Malaysia begitu cuai?

Cuba bayangkan kalau Bank Negara Malaysia yang ‘cuai’ terlupa hantar surat kepada LTH, apakah yang bakal terjadi kepada duit pendeposit hari ini?

Apapun tahniah Tabung Haji kerana menurut Bank Negara Malaysia, ia telah mengambil langkah pro-aktif bagi memperkukuh amalan pengurusan risiko untuk membolehkan ia mengekalkan kedudukan kewangan yang mampan dan sihat.

Sekadar mengenang hari yang pelik pada 26 Januari 2016.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN timbalan presiden PAS.

Lihat Komen
ADS