Bayaran BR1M bermula esok
Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 akan bermula esok.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata pemberian BR1M 2016 bagi kategori isi rumah dan warga emas akan diagihkan sebanyak empat peringkat setahun yang bermula esok, 28 April, 23 Jun dan 28 September.
Bagi penerima di bawah kategori individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM400 sekaligus mulai esok.
"Ini (pemberian BR1M) bagi memastikan penerima dapat membuat perancangan perbelanjaan dengan lebih baik khususnya dalam membeli barangan keperluan dapur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian BR1M 2016 dan penerusan Skim Khairat Kematian (SKK).
Satu kategori baharu diperkenalkan iaitu bagi semua penerima dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050.
-Bernama

