Demam denggi: Suami kehilangan isteri dan anak sulung
Seorang suami dari Gombak, Selangor kehilangan isteri dan anaknya yang menghidapi penyakit demam denggi dalam masa tiga minggu.
Seorang suami dari Gombak, Selangor kehilangan isteri dan anaknya yang menghidapi penyakit demam denggi dalam masa tiga minggu.
Akhbar Sin Chew Daily melaporkan di muka 11 (Dalam Negeri), Mohd Nazrul berkata, isteri dan anaknya itu mungkin sempat dirawat diselamatkan jika kerajaan mengumumkan lebih awal mengenai wabak demam demam denggi.
Kerajaan telah mengumumkan secara rasmi mengenai wabak demam denggi dua minggu lalu.
Anak sulungnya, Mohd Zairiff Shawang, 6 tahun, meninggal dunia pada 9 Disember lalu, setelah menghidapi demam yang 'sukah dijelaskan' selama tiga hari.
Beliau yang masih mempunyai dua orang lagi anak berkata:"Sekiranya kerajaan membuat pengumuman lebih awal, doktor mungkin tidak akan merawat penyakit Shawang sebagai demam biasa."
Keadaan Shawang tidak baik selepas memakan pil antibiotik dari sebuah klinik swasta selama dua hari. Oleh itu, Nazrul membawa anaknya ke klinik yang lain, tetapi klinik tersebut juga tidak merawati penyakit Syawang sebagai penyakit serius.
"Mereka hanya menasihati saya supaya membawa anak lelaki saya untuk menjalani ujian darah jika keadaan penyakitnya tidak pulih selepas empat hari," ujar Nazrul.
Bagaimanapun, beliau berkata, anak sulungnya itu meninggal dunia sebelum sempat menjalani ujian darah, semasa dihantar ke hospital pada hari keempat.
Hanya selepas itu, kata Nazrul, beliau diberitahu bahawa anakya menghidapi demam denggi.
Bagaimanapun, beliau tidak menyangka yang isterinya, Shafina, juga jatuh sakit selepas dua minggu. Doktor juga tidak merawat isterinya sebagai pesakit demam denggi.
Shafina demam dan sakit kepala selama dua hari. Pada hari ketiga pula, isterinya menggigil kesejukan seluruhan badan, kata Nazrul dalam keadaan sebak.
Katanya, beliau membawa isterinya ke hospital untuk diperiksa doktor dan juga memberitahu doktor keadaan penyakitnya selama tiga hari yang lepas, tetapi doktor tidak mahu menjalankan ujian darah Shafina.
"Isteri saya bertegas untuk menjalani ujian darah walaupun berdebat dengan doktor. Doktor hanya bersetuju untuk menjalani ujian darah selepas kami menerangkan keadaan Shawang," katanya.
Keesokannya, ujian darah mengesahkan Shafina demam denggi. Dia dihantar ke Unit Rawatan Rap (ECU), tetapi semuanya sudah terlambat. Dia meninggal dunia akibat demam denggi pada jam 8.50 pagi hari ketiga berada di ECU.
Guan Eng: TNB harus bayar pampasan
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa kejadian gangguan bekalan elektrik tidak akan berulang.
Dalam laporan di muka 8 (Dalam Negeri), Sin Chew Daily, Lim dipetik sebagai berkata TNB juga patut memberikan pampasan kepada pengguna yang kerugian disebabkan bekalan elektrik terputus.
Lim berkata, bekalan elektrik terputus di melebihi separuh kawasan negara, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka.
Katanya, masalah keupayaan TNB untuk mengekalkan bekalan elektrik telah menyebabkan pelabur mengalami kerugian besar dan menyusahkan orang ramai.
Menurut Lim, gangguan bekalan elektrik telah meninggalkan titik hitam dalam rekod perkhidmatan TNB dan kejadian itu juga membimbangkan para pelabur.
Oleh itu, beliau meminta pemimpin tertinggi TNB yang baru supaya meningkatkan perkhidmatan TNB, terutamanya dalam pengekalan bekalan elektrik.
Tiada taraf pemastautin tetap
Dalam laporannya di muka A14 (Nasional), Nanyang Siang Pau memetik Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho sebagai berkata kerajaan tidak akan memberi taraf pemastautin tetap kepada penduduk Aceh yang diselamatkan selepas terapung di laut berikutan bencana tsunami.
Katanya, semua warganegara asing yang hendak menjadi warganegara Malaysia perlu mengikuti proses permohonan yang ditetapkan, untuk membolehkan kerajaan memberikan pertimbangan dan menjalani pemeriksaaan.
Beliau memberitahu pihak media, dakwaan bahawa seorang warganegara Indonesia yang diselamatkan dari laut selepas bencana tsunami, telah mendapat taraf pemastautin tetap, adalah tidak benar.
Sambil menyifatkannya sebagai hanya khabar angin, Tan berkata, kerajaan tidak pernah memberi taraf tersebut kepada mangsa terbabit.
Menurutnya, warganegara Indonesia berkenaan dibenarkan tinggal di sini kerana ada penduduk tempatan yang sudi mengupahnya.
Oleh itu, katanya, pihak berkenaan memberikan keizinan khas kepada warganegara Indonesia tersebut, tetapi tidak akan memberi taraf pemastautin tetap kepadanya.
"Terdapat khabar angin bahawa ada orang mendapat layanan istimewa daripada kerajaan dan mendapat taraf pemastautin tetap. Ini tidak benar, tidak ada perkara seperti ini. Kami tidak akan berbuat demikian," ujarnya.
Selain itu, Tan juga berkata, tidak ada anak yatim dari Aceh yang mendapat keizinan untuk memasuki Malaysia.
Mereka yang ingin menjadikan anak yatim tersebut sebagai anak angkat, hanya boleh berbuat demikian dan menjaga mereka di Aceh, tanpa membawa mereka balik ke negara ini, tegasnya.
Apabila ditanya mengenai operasi penangkapan buruh asing tanpa izin mulai 1 Februari ini, beliau berkata, kerana Kabinet tidak memberi arahan baru, maka operasi tersebut akan dijalankan seperti biasa.

