Dr M: SPRM boleh rayu, tapi tak akan berjaya
Tun Mahathir Mohamad menyatakan keraguannya terhadap kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merayu keputusan peguam negara menutup kes dana RM2.6 bilion serta SRC International.
“Tidak (akan berjaya), kerana saya tahu, saya tahu dia (peguam negara) sudah tolak laporan Bank (Negara). Sebarang laporan akan ditolak.
“Sesetengah pihak yang membuat laporan akan didakwa di mahkamah kerana melapor,” katanya merujuk kepada kes bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan yang dituduh mensabotaj kewangan negara.
Mahathir juga mengkritik Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang menurutnya beranggapan berkuasa terhadap SPRM.
“Saya tidak tahu tetapi dia arahkan mereka tutup siasatan.
“Saya rasa dia percaya yang SPRM berada bawah peguam negara. Jadi mereka mesti taat pada AG,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin beliau menganggap kes berkenaan sebagai straightforward (tidak kompleks).
Justeru SPRM "berkemungkinan besar" akan merayu terhadap keputusan peguam negara menutup kedua-dua kes berkenaan.

