BERITA Malaysiakini

Sumber: SPRM cadang 3 pendakwaan pada Najib

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mencadangkan tiga pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bawah Seksyen 403, Kanun Keseksaan, menurut sumber yang mengetahui siasatan itu.

Difahamkan pendakwaan itu melibatkan pemindahan dana berasal dari SRC International ke akaun-akaun bank.

Seksyen 403 adalah berkaitan “menyalah guna harta dengan curang”.

Cadangan itu, dakwa sumber-sumber, dibuat kepada Pejabat Peguam Negara tetapi Malaysiakini masih belum mendapat pengesahan rasmi.

Enggan dikenali, sumber-sumber mendakwa Najib dicadangkan didakwa menyalah guna kuasa susulan kemasukan wang ke akaun peribadinya.

Bagi menghindarkan perkara itu, kata sumber-sumber, perdana menteri harus menafikan bahawa beliau tahu mengenai perkara itu.

Menurut undang-undang, untuk membuktikan salah guna kuasa, pihak berkuasa perlu menunjukkan seseorang itu tahu berkaitan dana dimaksudkan itu.

Malaysiakini sudah beberapa kali menghubungi Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan masih menunggu jawapannya.

[Baca berita asal]