Polis sedang menyiasat dakwaan sekumpulan Orang Asli Temiar bahawa seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah melepaskan tembakan ke udara semasa lawatan ke Kampung Sungai Papan, Gerik pada 19 Januari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Goh Kok Liang berkata dalam satu kenyataan di Ipoh bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa Orang Asli terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur selepas mereka tidak dibenarkan membuat laporan terhadap wakil rakyat itu di Balai Polis Lenggong-Gerik.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri menyerahkan kes yang melibatkan wakil rakyat kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, lapor Bernama.