Bos baru SPR mahu lawat NGO, termasuk BERSIH
Pengerusi SPR yang baharu Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah akan mengadakan kunjungan hormat kepada beberapa NGO, termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).
Katanya, kunjungan hormat itu dibuat bagi membincangkan segala perkara yang dibangkitkan mereka sebelum ini.
"Kami telah beberapa program seperti kunjungan ke stesen-stesen televisyen bagi memberi penjelasan mengenai peranan SPR.
"Saya juga telah berbincang dengan pegawai-pegawai, kami akan mengadakan lawatan rasmi.
"Kami akan melawat semua NGO," kata Mohd Hashim dalam sidang media pertamanya sebagai pemimpin utama suruhanjaya itu.
Mohd Hashim ketika diminta mengulas apakah lawatan terhadap NGO itu termasuk BERSIH, beliau mengesahkannya.
"Ya, semua NGO," katanya kepada media.
Beberapa NGO, terutamanya BERSIH sebelum ini konsisten mendesak SPR melakukan penambabahbaikan dalam proses pilihan raya.
Mereka juga mengadakan perhimpunan aman bagi menuntut suruhanjaya itu mengadakan reformasi pilihan raya, antaranya pembersihan daftar mengundi dan tempoh kempen minimum 21 hari.
'Kenyataan umum, bukan khas pada BERSIH'
Sementara itu, Mohd Hashim dalam penjelasannya selepas itu berkata kenyataan beliau itu sebenarnya bersifat umum dan tidak ditujukan khas kepada BERSIH.
"Kenyataan saya itu bersifat umum dan tidak ditujukan khusus kepada BERSIH seperti mana yang telah dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini .
Saya berharap semua pihak jelas dengan maksud yang ingin saya sampaikan dan tidak menyalah tafsir kenyataan tersebut," katanya.
Beliau berkata, dalam sidang media itu, beliau berkata akan mengadakan lawatan dan kunjung hormat ke atas agensi-agensi media serta pihak-pihak berkaitan termasuk NGO.
Ini, katanya, untuk memberi penjelasan tentang peranan SPR serta mendapatkan kerjasama dan berbincang bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit.

