100 pegawai JPJ akan menyamar jadi penumpang bas
Sebanyak 100 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres dalam operasi khas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dari 2 sehingga 16 Februari ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata seorang pegawai JPJ akan ditugaskan dalam bas ekspres secara rambang dengan mengenakan pakaian preman dalam memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
"Pegawai yang ditempatkan dalam bas itu akan menilai tahap pemanduan pemandu bas dan jika mereka melakukan kesalahan, pegawai kami akan terus saman mereka setibanya di destinasi yang ditujui," katanya.
Ismail berkata, pada masa sama pegawai JPJ juga akan turut melakukan pemeriksaan teknikal terhadap bas ekpsres di kesemua 82 depoh bas di seluruh negara dalam tempoh operasi berkenaan.
"Sementara operasi menyeluruh yang bermula pada 8 sehingga 12 tengah malam itu turut melibatkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen," katanya.
-Bernama

