Panel Penilaian Operasi SPRM (PPO) menasihatkan suruhanjaya itu melibatkan diri dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Panel mengambil perhatian keputusan baru-baru ini oleh peguam negara berkaitan dengan RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd (kes RM42 juta) melibatkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

"Kedua-dua panel menasihatkan SPRM melibatkan diri dengan AG mengenai keputusan tersebut," kata kenyataan yang dikeluarkan selepas panel berkenaan bertemu selama 5 jam di Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, PPO terdiri daripada mereka yang dilantik oleh perdana menteri untuk menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung keputusan mengenai kertas siasatan yang dibuat oleh AG dan untuk mengemukakan pandangan mengenai tindakan ke atas kes-kes di mana tiada pendakwaan dilakukan.

Panel khas itu terdiri daripada anggota jawatankuasa pengawasan di SPRM. Panel ini ditubuhkan atas syor jawatankuasa khas mengenai rasuah dipengerusikan oleh presiden Senat Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

Selasa lalu, Apandi membersihkan nama perdana menteri berhubung derma RM2.6 bilion yang diterimanya dan kes berkaitan RM42 juta SRC International Sdn Bhd serta mengarahkan SPRM menutup kes tersebut.

Baca berita penuh.