IGP, menteri mohon batalkan saman Nurul Izzah
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri akan membuat permohonan untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Peguam Latheefa Koya, yang mewakili ahli parlimen Lembah Pantai itu, berkata perkara berkenaan dimaklumkan oleh peguam kanan persekutuan yang mewakili Khalid dan Ismail.
Bagaimanapun, peguam itu berkata beliau masih belum menerima permohonan untuk pembatalan itu.
Latheefa juga berkata Nurul Izzah boleh mengambil keputusan untuk memfailkan permohonan sendiri bagi menghalang peguam kanan persekutuan dari Jabatan Peguam Negara mewakili Khalid dan Ismail.
"Ini kerana saman itu difailkan oleh Nurul Izzah terhadap mereka dalam kapasiti peribadi mereka berikutan kenyataan yang mereka buat.
“Mungkin kita akan memfailkan permohonan itu minggu depan," katanya kepada Malaysiakini.
Pengurusan kes itu ditetapkan pada 21 Mac.
Nurul Izzah menamakan Khalid dan Ismail dalam saman itu, berikutan kenyataan yang mengaitkannya dengan perbuatan khianat kerana berjumpa dengan Jacel Kiram yang mendakwa dirinya sebagai puteri Sulu di Filipina.
Beliau menuntut ganti rugi teruk dan umum daripada kedua-dua mereka.
Ia kerana Khalid dan Ismail mengaitkan beliau dengan perbuatan khianat kepada negara ekoran pertemuannya dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III itu.
Khalid berkata Nurul boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana bertemu Jacel boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara serta dianggap musuh negara yang menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban.
Sementara Ismail pula dilapor menyifatkan tindakan Nurul Izzah itu sebagai "penderhakaan kepada negara" kerana mengguris perasaan rakyat Sabah dan waris anggota keselamatan dan boleh diambil tindakan bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau.
Bagaimanapun, Naib presiden PKR itu menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama Jacel tersebar.

