Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz memohon maaf kepada pemberita kerana sebelum ini seringkali mengelak dari menjawab soalan berhubung pelbagai isu yang melanda parti Islam itu.

Pemuda PAS yang mengadakan majlis minum petang rakan media anjuran Pemuda PAS hari ini turut ingin ‘berkawan’ dengan kesemua agensi media di negara ini.

“Saya harap hubungan kita terus berpanjangan, saya sebagai ketua pemuda kalau tuan-tuan ingat dulu saya memperkenalkan diri saya sebagai seorang lelaki yang pemalu.

“Saya minta maaf, mungkin pihak media rasa saya agak payah nak dihubungi, kecuali saya diperangkap.

“Dan biasa ramai yang perangkap saya di pintu parlimen memang saya tidak boleh lari. Tapi kalau isu besar sangat saya akan lari ikut belakanglah,” katanya yang sering tersenyum dan ketawa dalam sidang media itu.

Kira-kira 20 wakil agensi media hadir dalam pertemuan di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Anak ikon PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu berkata, tindakan beliau sebelum ini disebabkan kadang kala beliau tidak sesuatu maklumat.

“Kerana payah untuk jawab, dan memerlukan orang yang layak kerana situasi politik hari ini yang agak berkecamuk,” katanya.

Sementara itu, Nik Abduh ketika ditanya adakah akan menjawab panggilan telefon pihak media selepas ini hanya tersenyum.

Beliau kemudian mengangguk kepala lalu berseloroh lagi: “Selepas ini bolehlah jawab setahun sekali.”