TPPA: Jaminan ruang pekerjaan buat rakyat masih samar
ULASAN l Hari ini Dewan Negara bersidang bagi membahaskan tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilihat sebagai alat terbaru yang digunakan oleh kerajaan yang ada untuk menampung sumber ekonomi negara ini yang sudah semakin tempang dan tenat.
Alasan demi alasan kebaikan digunakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat demi untuk memastikan niat dan kehendak mereka diterima.
Tambah tidak relevan apabila isu yang melibatkan urusan negara yang menjadi hak milik semua rakyat hanya dibentangkan di Parlimen sebagai gimik politik semata-mata ini kerana apa yang dibentangkan ini ialah sesuatu ketettapan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan bukan ruang bagi penambahbaikan dibuat oleh suara majoriti.
Apa yang paling penting yang ingin saya sentuh ialah soal jaminan kerajaan dalam isu peluang pekerjaan dikalangan rakyat Malaysia yang kononnya dijanjikan akan meningkat dan kadar pengangguran negara akan berkurangan.
Ini adalah satu lagi muslihat yang cuba dimanipulasi oleh kerajaan yang ada.
Tidak langsung ada disebut di dalam draf perjanjian ini yang menyatakan semua syarikat-syarikat luar negara yang akan bertapak di Malaysia selepas TPPA dilaksanakan wajib untuk memastikan 30-50 peratus tenaga kerjanya ialah di kalangan rakyat Malaysia itu sendiri.
Saya ambil contoh bagaimana syarikat dari luar yang membuka kilang mereka di negara ini dan memerlukan tenaga kerja mahir bagi memastikan produk mereka terjamin kualitinya akan pasti mengambil tenaga kerja Malaysia sedangkan mereka mempunyai ruang untuk membawa tenaga kerja mahir dari negara mereka untuk bekerja dinegara kita.
Dan ini sekaligus akan membuatkan isu kadar pengangguran dan hilang jawatan akan terus berlarutan.
Saya juga menyatakan kebimbangan saya berkaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia yang menyebut bahawa “Pekerja asing akan mendapat hak yang sama sebagaimana pekerja tempatan termasuk menjadi pemimpin sesebuah kesatuan sekerja “ dan ini jelas menunjukan gugurnya hak keistimewaan rakyat Malaysia dalam isu pengarahan kerana ruang yang sepenting ini juga dalam masa belum dilaksankan pun sudah dibuka kepada kepincangan yang akibatnya pastilah buruk buat rakyat khususnya golongan pekerja.
Jelasnya sebaik manapun kenyataan kerajaan dalam isu TPPA ini rakyat Malaysia harus faham yang kita akan dijajah oleh satu kuasa besar yang egonya amat diketahui dunia makanya apakah jaminan yang diberikan oleh Menteri-Menteri kerajaan ini bahawa kita tidak akan dibonekakan akan berlaku atau sebaliknya.
Ya benar kesan TPPA tidak akan berlaku serentak tetapi ia akan berlaku peringkat demi peringkat dan kesannya masih sama rakyatlah akan terus menjadi mangsa kepada kecelaruan pemerintah yang sedia ada.
Penulis adalah Ahli Dewan Negara dan juga Ketua Srikandi PKR.

