IS pikat pengikut dengan idea antisekular, 'antitoghut'
Mimbar Jumaat hari ini memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan radikal dan militan seperti IS yang berkait rapat dengan konflik di Syria.
Dalam teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, mimbar turut mengingatkan umat Islam supaya merujuk kepada entiti berwibawa dan mempunyai autoriti tentang sesuatu perkara berkaitan agama.
Menurutnya, penerimaan dan pegangan bagi negara ini ialah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang memberi cahaya serta panduan dan keamaan di kalangan manusia.
Sebaliknya, mimbar berkata, apa yang berlaku kini ialah kumpulan-kumpulan tersebut telah menyalah guna nama Islam untuk menggulingkan kerajaan dan mencapai matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Islam mengikut acuan sendiri.
"Kita dapat menyaksikan betapa gerakan militan IS ini begitu fanatik dan ekstrim dengan ideologi yang kononnya berpaksikan 'salafi jihadi’ serta mudah melabelkan orang yang menentang perjuangannya sebagai keluar dari Islam, murtad dan halal darah untuk dibunuh.
"Tindakan ekstrim yang dilakukan jelas melanggar hukum syariah," kata teks khutbah itu.
Sehubungan itu mimbar mengingatkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa haram bagi umat Islam menyertai kumpulan militan IS yang bercanggah dengan prinsip ajaran Islam dan menggugat kestabilan dan keselamatan negara.
Malah teks itu juga menyebut bahawa umat Islam mudah keliru dengan ajaran Islam dan fahaman ekstremis yang dibawa IS kerana mendakwa negara Islam sedia ada merupakan sebuah kerajaan toghut dan sekular.
Mimbar juga menyatakan bahawa, individu yang terpengaruh dengan ajaran ekstremis itu mendapat gambaran tidak tepat tentang konflik di Syria dan melabelkan usaha pihak yang menentang dan menangkap IS sebagai pro-syiah dan mengancam untuk melakukan perang jihad kerana mendakwa pemerintah tidak menegakkan al-Quran dan sunah.
Justeru itu, mimbar mengingatkan sekiranya fahaman tersebut tidak dibendung dari awal akan menghasilkan tindakan radikal dan ekstremis.
"Mereka teraba-raba dalam suluhan cahaya disebabkan sistem kepercayaan diri yang lemah, amal ibadah dan akhlak yang bertentangan dengan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias.
"Malah, mereka mudah melabelkan golongan yang tidak sealiran sebagai toghut , sekular, syirik, sesat, murtad dan kafir serta bersifat radikal.
“Mimbar ingin menegaskan bahawa fahaman ini jika tidak dibendung dari awal akan terus berkembang dan menghasilkan tindakan radikal dan ekstremis," kata teks itu lagi.

