rencana

Dalam satu temuramah eksklusif, Menteri Besar Terengganu Ustaz Abdul Hadi Awang menjelaskan konsep penubuhan sebuah negara Islam, isu royalti dan kesannya ke atas rakyat; sektor pendidikan dan juga peranan wanita.

Untuk berjumpa Timbalan Presiden PAS itu tidaklah susah. Kami ke rumah beliau di Kampung Rusila, lebih kurang 15 minit perjalanan dari bandar Kuala Terengganu. Apabila kami sampai, Ustaz Hadi dengan ramah menyambut kami. Kebetulan beliau tidak sihat dan memakai 'neck brace', selepas mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Difahamkan Menteri Besar lebih senang bertemu rakyat di rumah beliau dan kediaman rasmi Menteri Besar hanya digunakan untuk meraikan tetamu dan mengadakan mesyuarat.

Ustaz Hadi, 54, yang lebih suka dipanggil dengan 'Ayah chik' di kalangan rakyat Kampung Rusila, terkenal dengan ceramahnya yang penuh semangat.

Beliau memberitahu kerajaan negeri yang diwarisi daripada Barisan Nasional, sebenarnya menanggung hutang sekitar RM700 juta dan walaupun menerima royalti sejuta ringgit. Ada rakyat yang masih belum mendapat keperluan asas seperti elektrik walaupun tinggal bersebelahan penjana hidro Kenyir.

Justeru itu, Kerajaan negeri perlu mencari alternatif bagi memastikan kerajaan terus berfungsi walaupun tanpa royalti.

Beliau berkata kerajaan Terengganu dibawah teraju PAS sudah menerapkan konsep 'negara Islam'. Contohnya, mengamalkan sifat gotong-royong dalam membina projek kampung, melaksanakan amalan berhemat dan mengagihkan hasil pendapatan kerajaan negeri untuk memajukan rakyat.

Ustaz Hadi juga berkata barisan pimpinan PAS akan sendiri menjadi contoh dalam menyemai unsur keIslaman - seperti tidak boros - sebelum menyuruh rakyat berbuat demikian.

Beliau juga ingin memperbetulkan salah tafsiran berkenaan 'hukum hudud', sambil memberi jaminan kepada rakyat bukan Islam Terengganu bahawa hak mereka untuk menganut budaya dan agama masing-masing tidak akan terjejas.

Melombong emas

Isu rampasan royalti, katanya menjadi punca porak-poranda pelan ekonomi dan menambah beban kerajaan negeri. Menurut Ustaz Hadi, rampasan royalti telah membantutkan dan memberhentikan usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat fakir miskin.

Namun begitu, Kerajaan Terengganu tidak akan berpeluk tubuh tanpa memperjuangkan hak mereka, tambah beliau.

Antara usaha Kerajaan Negeri adalah menggalakkan amalan berhemat, mengumpul zakat dan sedekah jariah di kalangan individu yang lebih berkemampuan supaya membantu golongan tidak bernasib baik.

Menurut Ustaz Hadi, Kerajaan Negeri juga akan memulakan kegiatan melombong emas di Terengganu, yang akan menjadi hak kerajaan negeri seratus peratus.

"Rakyat akan menerima 60 peratus hasilnya manakala kerajaan 40 peratus."

Katanya lagi, dengan cara ini rakyat diberi peluang melombong secara tradisional dan kerajaan akan menggunakan jentera berat untuk melombong.

Beliau juga menyentuh mengenai pemilihan calon wanita dalam pilihanraya. Ini, katanya, bagi melindungi wanita daripada terjebak ke dalam demokrasi yang 'sudah dibiadabkan' oleh Barisan Nasional. Beliau memberi contoh perdebatan dalam Dewan Negara yang lebih menjuruskan kepada perbalahan.

Hak rawatan Anwar

Menurut Ustaz Hadi, isu kuota pendidikan harus dikaji berdasarkan kemampuan kewangan seseorang pelajar bukannya berdasarkan bangsa atau agama.

"Ternyata, pada hari ini orang Melayu paling miskin, maka kuota itu patut ditumpukan kepada orang Melayu. Bukan kerana dia Melayu tetapi kerana dia perlukan bantuan. Tetapi sekiranya orang Melayu pulih, sudah maju dan kaum Cina pula miskin, kita mesti berikan kepada mereka," kata beliau.

Sambil menyentuh isu hak rawatan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berseloroh dengan mengatakan nasib baik dirinya sendiri tidak perlu dibedah.

"Saya kemalangan jalan raya dua tahun lalu. Sekarang baru terasa. Kalau bedah, saya rasa bahaya, mungkin perlu pergi ke Jerman. Saya rasa Dr Mahathir tak bagi kebenaran!" katanya sambil ketawa.

Dalam nada yang lebih serius, Ustaz Hadi berkata, "Kalau gajah di hutan belantara yang sakit, uzur dan kerajaan sanggup membekalkan helikopter dan kakitangan untuk rawatan, inikan pula seorang manusia."

Ustaz Hadi menyatakan beliau percaya kemungkinan besar Terengganu akan kekal di bawah PAS dan parti Barisan Alternatif akan berkuasa pada pilihanraya tahun 2004 memandangkan respons rakyat yang begitu menggalakkan dalam masa singkat mereka mengambil alih kerajaan negeri.


Ikuti juga isu menarik di sebalik 'Amanat Hadi', yang beliau sifatkan sebagai "Barang buangan oleh PAS, Umno kitar semula" dalam temuramah yang akan diterbitkan esok.