Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 15 NGO hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Majlis Raja-raja Melayu bagi memohon campur tangan dalam isu wang derma RM2.6 bilion.

Menurut jurucakap Otai Reformis, Ronnie Liu Tian Khiew campur tangan tersebut penting supaya baginda mengarahkan kabinet menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes itu.

"Patik memohon Tuanku mengarahkan penubuhan penyiasatan diraja untuk membuat siasatan teperinci dan seterusnya membuat laporan lengkap secara umum menjelaskan kepada rakyat hubungkait isu sumbangan RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akuan peribadi PM.

"Patik juga memohon ke bawah duli tuanku dan Majlis Raja-raja untuk campur tangan dalam menyelesaikan kemelut ini," kata Ronnie kepada pemberita di hadapan pintu masuk Istana Negara hari ini.

Selasa lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan tiada kesalahan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak berhubung wang sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya serta siasatan berkaitan SRC International.

Susulan itu Panel Penilaian Operasi (PPO) dan panel khas SPRM mahu Apandi memberi penjelasan mengapa beliau tidak memberi tekanan untuk mendakwa Najib.

Mengulas lanjut, Ronnie berkata meskipun AG telah menyatakan perdana menteri tidak bersalah dan wang tersebut telah dipulangkan namun ia masih menjadi tanda tanya kepada rakyat.

"Rakyat begitu gelisah dengan berita penggunaan wang simpanan Tabung Haji dengan jumlah yang begitu besar untuk membeli aset-aset milik 1MDB dan keadaan ini mewujudkan rasa tidak tenteram di kalangan masyarakat," kata Ronnie.

Justeru, Ronnie menegaskan dengan penubuhan suruhanjaya ini akan dapat menebus maruah negara sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat.

"Penubuhan suruhanjaya penyiasatan diraja ini akan dapat menebus maruah negara serta mengembalikan kepercayaan pelabur asing terhadap ketelusan urus tadbir akerajaan Malaysia dari dicemari gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa," tegasnya.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai perhubungan Istana Negara untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan.

Lihat Komen
ADS