Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ketua Umno, exco mesti mohon maaf pada sultan'
Diterbitkan:  Jan 31, 2016 8:45 AM
Dikemaskini: 8:58 AM

Tindakan sebahagian anggota Exco Kedah tidak menghadiri mesyuarat pada Rabu lalu bukan saja melanggar ikrar mereka kepada sultan malah menyebabkan pihak istana murka.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kemurakaan Sultan Kedah dan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah itu dimaklumkan kepada beliau.

Katanya, keengganan exco berkenaan menghadiri mesyuarat pada 27 Januari lalu telah menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan diatur kerajaan negeri untuk pembangunan rakyat di negeri berkenaan.

Pembabitan ketua bahagian dalam sidang media menolak kepimpinannya itu juga, kata Mukhriz, mencemari sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah.

Dalam kenyataan medianya hari ini, anak bekas perdana menteri itu juga berkata, perbuatan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian Umno Kedah "mengheret bersama ketua-ketua sayap" parti itu mengadakan sidang media untuk menyatakan rasa tidak percaya kepadanya pada 20 Januari lalu sebagai tidak bertanggungjawab.

"Perbuatan kumpulan ini mencemar pelbagai acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah," katanya.

Hanya tiga exco hadir

Mukhriz kini berdepan krisis kepimpinan selepas sebahagian besar pimpinan parti itu di Kedah tampil meminta Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan menggantikan menteri besar di negeri itu.

Walaupun memberikan empat alasan utama yang mendorong mereka menolak kepimpinan Mukhriz, penganalisis berpendapat desakan itu lebih berpunca daripada kelantangan bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Najib.

Menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu BN mengambil strategi menggunakan nama Mukhriz sebagai calon menteri besar dalam usaha mereka merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat.

Desakan untuk menggantikan Mukhriz diketuai timbalannya sendiri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ketika mesyuarat mingguan Rabu lalu, hanya tiga anggota exco hadir, manakala enam yang lain tidak hadir.

Mukhriz berkata sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah beliau menerima khabar pihak istana "tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut".

Apa yang lebih dikesali, katanya, desakan itu turut disertai beberapa ahli exco yang "sudah berikrar untuk taat setia kepada Raja Pemerintah" ketika mereka mengangkat sumpah jawatan dulu.

"Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah atas perbuatan segelintir ahli Umno yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah," katanya.

Mukhriz juga mendesak semua 14 ketua Umno bahagian yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sidang media pada 20 Januari lalu, serta enam exco negeri supaya memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

"Sehingga kemelut ini selesai setiap ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seperti termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah," katanya.

Lihat Komen
ADS