Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz kata Umno Kedah biadab
Diterbitkan:  Jan 20, 2016 9:56 PM
Dikemaskini: 7:39 PM

Tanpa menafikan hak Umno Kedah menuntut supaya menteri besar mereka diganti, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berpendapat masa desakan itu dibuat sebagai tidak wajar.

Kata Mahfuz, Kedah kini sedang meraikan sambutan hari keputeraan sultan yang ke-88.

"Esok (21 Januari) adalah hari kedua majlis pengurniaan bintang dan pingat kebesaran.

"Tiba tiba hari ini mereka (pemimpin Umno Kedah) persembahkan tindakan tidak beradab kepada sultan dan rakyat Kedah yang sedang dalam kegembiraan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Siang tadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengisytiharkan pemimpin parti itu di negeri berkenaan "hilang keyakinan" dengan kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Justeru mereka menggesa Datuk Seri Najib Razak - sebagai Presiden Umno dan perdana menteri - menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Mukhriz yang juga anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Menteri Besar Kedah sekali gus pengerusi perhubungan Umno negeri berkenaan.

Untuk makluman, Dr Mahathir adalah salah seorang pengkritik Najib paling lantang.

Menurut Ahmad Bashah, 14 ketua bahagian hadir di majlis pengumuman dibuatnya, kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Rakyat tuntut lain

Empat sebab disenaraikan Ahmad Bashah yang menjadi punca mereka hilang keyakinan kepada Mukhriz, iaitu gagal menyatukan parti, kurang perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, gagal memimpin serta menggerakkan jentera parti serta tidak berkeupayaan menguruskan pentadbiran negeri dengan berkesan.

Mahfuz berkata, pimpinan Umno Kedah sepatutnya menunggu sehingga perayaan hari keputeraan Sultan Kedah selesa sebelum membuat desakan berkenaan.

Katanya, desakan itu yang dibuat pada waktu adalah "tindakan yang tak beradab".

"Terpulanglah kepada Umno nak tukar Pengerusi Umno Kedah, tetapi tidak wajar mencetuskan isu ketidakpercayaan kepada menteri besar selepas tuanku sultan menerima lafaz taat setia daripada Mukhriz sebagai yang mewakili kerajaan dan rakyat Kedah.

"Tindakan Umno Kedah adalah penghinaan terhadap tuanku sultan," katanya.

Kepada Najib, Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden PAS berpesan supaya tidak menambah masalah rakyat yang menghadapi masa depan tidak menentu.

"Tuntutan rakyat ialah beliau (Najib) melepaskan jawatan sebagai perdana menteri," katanya.

Lihat Komen
ADS