Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah media pejabat PM dapat 'Datuk Seri'
Diterbitkan:  Feb 1, 2016 11:59 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dianugerahkan pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bekas wartawan kanan New Straits Times itu antara 322 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini, lapor Bernama .

Turut menerima anugerah tersebut ialah Senator Datuk Boon Som Inong , bekas wartawan Agensi Berita Iran dan Agensi Berita Kuwait (KUNA), dan kini Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang.

Antara pengamal media lain yang dianugerahi darjah kebesaran ialah Timbalan Ketua Pengarang (TKP), Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia ( Bernama ), Mokhtar Hussain.

Mokhtar, 55, yang juga presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dianugerahi darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga pengamal media menerima bintang ahli Mahkota Wilayah (AMW) iaitu Ketua Biro Berita Harian Putrajaya R Magendran; Pengarang Sukan Kosmo! , Asan Ahmad @ Hassan Ibin; dan wartawan kanan Sin Chew , yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew.

Manakala dua lagi pengamal media menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) iaitu Penerbit Rancangan RTM, Mohammad Rozi Kamis dan wartawan Utusan Malaysia , Norlizah Abas.

Istiadat penuh pengurniaan darjah kebesaran akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini dan Rabu ini.

Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang bermula sejak tahun 2008 bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan, jasa serta khidmat cemerlang warga dalam Wilayah Persekutuan termasuk mereka yang bukan bermastautin di wilayah ini.

Lihat Komen
ADS