Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS imbas semula tuduhan khalwat Mat Sabu
Diterbitkan:  Feb 1, 2016 12:14 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Genap 21 tahun, PAS hari ini mengimbas semula tuduhan khalwat seorang bekas pemimpin kanannya dengan menegaskan parti itu tidak campur tangan dan menyerahkan kes itu kepada mahkamah untuk diadili.

Menerusi kenyataan disiar dalam portal Harakahdaily, Pusat Penyelidikan PAS pusat mengimbas kes membabitkan bekas timbalan Presidennya, Mohamad Sabu pada 1995 yang kini merupakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu merupakan Ketua Pemuda PAS ketika beliau dituduh melakukan khalwat dengan isteri pemandunya di sebuah hotel di Kota Bharu pada 31 Januari 1995.

"Pada hari ini (1 Februari) dalam tahun 1995, PAS telah menegaskan bahawa mereka tidak akan campur tangan, bahkan akan menyerahkan kepada kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan Ketua Dewan Pemuda Pas pusat yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri, Mohamad Sabu," kata Head, House Of Resources Pusat Penyelidikan PAS pusat, Mohd Fadli Ghani.

Katanya, di sebalik serangan bertubi-tubi media massa dan pemimpin BN, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan isu itu sebagi konspirasi politik, sedangkan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor menegaskan tindakan disiplin akan diambil ke atas Mat Sabu.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIK) bagaimanapun telah menafikan wujudkan konspirasi dalam isu ini, sedangkan para pemimpin Umno mempersoalkan tindakan PAS mempertahankan pemimpin mereka yang terlibat dalam isu moral seperti ini," ujarnya.

Mohd Fadli berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) menafikan wujudkan konspirasi dalam isu ini sedangkan pemimpin Umno mempersoalkan tindakan PAS mempertahankan pemimpin mereka yang terlibat dalam isu moral.

"Di pihak PAS, walaupun telah menyerahkan kes ini kepada mahkamah tetapi pada 21 Februri 1995, jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil tindakan politik dengan menerima perletakan semua jawatan parti oleh Mat Sabu sebagai mengambil tanggungjawab dalam isu ini.

"Bahkan PAS pusat telah memutuskan untuk mengambil tindakan lanjut ke atas Mat Sabu setelah mahkamah membuat keputusan.

Katanya, dalam penghakiman pada 4 hingga 6 April 1995, Kadi Besar Kelantan Datuk Daud Mohamad membebaskan Mat Sabu tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan prima facie ekoran percanggahan keterangan saksi.

"Selain tindakan disiplin yang diambil Jawatankuasa Kerja PAS pusat terhadap Mat Sabu, keputusan PAS pada 1 Februari 1995 yang menyerahkan kes ini ke mahkamah telah berjaya menyelamatkan imej PAS yang cuba dicalarkan oleh musuh-musuh politiknya menjelang Pilihan Raya Umum 1995 di mana parlimen telah dibubarkan pada ApriL 1995," katanya.

Tidak dapat dipastikan mengapa kes tersebut dibangkitkan semula Pusat Penyelidikan PAS, namun dipercayai ia bukan satu-satunya imbasan sejarah yang disiarkan bagi mengimbau semula sejarah PAS.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Mat Sabu bagi mendapatkan reaksi.

Lihat Komen
ADS