Malaysiakini
BERITA

Spekulasi MB baru lepas pertemuan 2 petang

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Feb 2016, 6:09 pagi

Satu pertemuan antara Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dijadual di Alor Setar hari ini, dipercayai berkaitan kemelut membabitkan kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada masa sama, laman pro-BN melaporkan cakap-cakap bahawa sultan Kedah sudah memperkenan pertukaran menteri besar dan pengumuman akan dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak selepas pertemuan itu.

“Sudah pasti ramai menanti penuh minat apa pula episod 'penyingkiran' Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini.

“Cakap-cakap tersebar di kalangan wartawan bahawa sudah sultan Kedah sudah memberikan perkenan untuk pertukaran menteri besar di negeri itu.

“Katanya, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan nama tersebut petang ini,” lapor Agenda Daily .

Bernama semalam melaporkan beberapa ADUN mengesahkan dimaklumkan mengenai pertemuan itu yang dijangka berlangsung di Wisma Darul Aman, 2 petang ini.

Kedudukan Mukhriz dipertikaikan oleh timbalannya dalam Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang memimpin sidang media menolak kepimpinannya dua minggu lalu.

Ia dipercayai susulan kelantangan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad mengasak pentadbiran Najib dan mendesaknya berundur.

Bernama juga melaporkan terdapat maklumat bahawa 19 daripada 21 ADUN BN - 17 Umno dan dua MCA - telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Jumaat lepas, Najib menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan isu pertukaran menteri besar.

Najib dalam sidang media pada hari sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dilaporkan sebagai berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan berhubung kemelut itu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.