ULASAN Hari ini merupakan hari memperingati 42 tahun sejak penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang mana pentadbiran ibu negara Malaysia ditukar dari kerajaan negeri Selangor ke kerajaan persekutuan.

Tempoh 42 tahun bukanlah satu jangka masa yang lama, bila dilihat dari sudut sejarah pentadbiran bandar-bandar raya dan ibu-ibu kota dunia seperti London dan Paris, mahupun Bangkok dan Jakarta.

Sebagai warga kota Kuala Lumpur hari ini yang terus membangun pesat dengan jumlah penduduk mencecah 1.5 juta (lebih 7 juta, jika dimasukkan sekali mereka yang tinggal di Lembah Klang).

Dan dengan adanya dokumen rasmi seperti Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, memang sesuai jika kita gunakan hari ini untuk merenung dan memikirkan kembali erti bandar raya Kuala Lumpur dalam konteks pembangunan insan dan negara.

Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai kerajaan tempatan yang diamanahkan mentadbir dan mengurus Kuala Lumpur diperuntukkan RM2.72 bilion bagi tahun 2016.

Dengan jumlah yang begitu besar ini, kita perlu bertanya adakah realiti kehidupan di Kuala Lumpur hari ini sudah memadai, atau masih kah ada isu-isu yang perlu ditangani dengan lebih menyeluruh?

Walaupun saya dibesarkan di Kuala Lumpur, saya mula banyak berfikir tentang isu dan masalah warga kota setelah lebih aktif dalam politik sekitar 2010, terutama sebagai ketua penerangan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini, selepas memulakan kerja dengan membuka Pusat Khidmat Masyarakat PKR Setiawangsa pada 4 Disember lalu dan bertemu warga sekitar, sama ada di pasar mahupun program setempat, saya mengenal pasti beberapa isu penting warga kota.

Ini cadangan-cadangan saya tentang langkah yang boleh diambil:

Kesesakan lalu-lintas makin teruk

Bila bercakap tentang Kuala Lumpur, terutama bagi mereka yang bekerja di sekitar ibu kota, akan timbul isu kesesakan lalu-lintas.

Baru-baru ini, seorang kawan yang tinggal di Selayang bercerita bagaimana dia terpaksa menghabiskan hampir sejam setengah setiap pagi untuk ke tempat kerja di Midvalley.

Bagi mereka yang tinggal di Setiawangsa, jalan-jalan yang akan sesak hampir setiap hari kerja temasuklah Jalan Semarak, Jalan Genting Klang, Jalan Setiawangsa malah juga Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Yang saya amati, perlu diwujudkan jaringan infrastruktur pengangkutan awam sama ada rasmi ataupun tidak yang mampu menyelesaikan masalah last mile solution , atau persoalan bagaimana membolehkan seorang itu pergi ke stesen LRT (contohnya) tanpa menggunakan kenderaan sendiri.

Contohnya dengan mewujudkan rangkaian motosikal seperti di Jakarta (ojek) dan Bangkok (teksi motorsikal) yang mampu membawa penumpang dari rumah ke stesen bas/LRT. Harga bayaran mesti berpatutan, sekitar RM1-3 bergantung kepada jarak.

Dengan langkah ini, bukan sahaja kita dapat mengurangkan jumlah kereta di jalan raya, kita juga mewujudkan peluang pekerjaan separuh atau sepenuh masa bagi mereka yang mempunyai motosikal.

Isu pengawalan boleh menggunakan sistem serupa seperti Grab atau Uber.

Kos barang naik

Setiap kali saya ke pasar pagi untuk bertemu warga tempatan, saya akan bertanya para peniaga tentang perniagaan mereka pasca pengenalan GST dan kejatuhan nilai mata wang ringgit.

Ramai yang berkata pendapatan mereka berkurangan sebab ramai yang tidak berbelanja seperti dulu. Ada yang mengeluh kerana harga kos barang sudah meningkat.

Contohnya, harga kos kacang dal putih meningkat dari sekitar RM3.50 sekilo hingga RM11 lebih sekilo sekarang.

Manakala harga kos petai meningkat hampir 300 peratus jika peniaga membeli petai dari Thailand.

Walaupun kerajaan tempatan tidak boleh mengubah dasar fiskal atau dasar makro-ekonomi yang lain, namun sekurang-kurangnya DBKL lebih sensitif kepada keperluan pembeli dan peniaga terutama peniaga pasar tani.

Ini kerana pasar tani membolehkan rakyat membeli sambil berjimat.

Oleh itu, kemudahan secukupnya perlu diberi kerana dalam senario yang mana gaji kita tidak naik tetapi harga barang terus meningkat, rakyat mahukan penyelesaian cepat tetapi berkesan.

Contoh: Dua minggu lalu, setelah lebih sedekad beroperasi di hadapan Giant di Taman Setiawangsa, Pasar Tani Setiawangsa dipindahkan ke kawasan tepi Aeon AU2, di sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

Saya difahamkan pemindahan yang berlaku secara tiba-tiba ini telah menimbulkan keresahan di kalangan pembeli malah juga peniaga.

Malah pemindahan ini turut menimbulkan masalah tambahan apabila orang ramai terpaksa meletakkan kereta di Jalan Taman Setiawangsa, mengakibatkan enam lorong berkurangan menjadi dua lorong pada pagi Sabtu.

Bagi saya, pasar tani ini patut dipindahkan balik ke lokasi asal. Saya harap pihak DBKL boleh kaji semula pemindahan ini, demi kemaslahatan umum.

Malah apakah mungkin diwujudkan lebih banyak pasar tani seperti Pasar Tani Setiawangsa ini?

Perumahan kurang memuaskan

Pembangunan pesat, tetapi kemudahan perumahan sedia ada masih kurang memuaskan.

Sesiapa yang melalui Seksyen 10 atau Seksyen 5 Wangsa Maju akan dapat melihat betapa rancaknya pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

Jangkaan saya, projek-projek yang sudah berjalan ini mungkin menambah 5,000 hingga 7,000 penduduk di Setiawangsa dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang.

Pada masa yang sama, beberapa kawasan perumahan yang sudah mencecah 30 tahun nampaknya mahu dibangun semula.

Impak terhadap trafik, kemudahan letak kereta dan banyak lagi adalah cukup besar, terutama dalam masa lima tahun akan datang.

Saya percaya pihak berkuasa cukup berhati-hati mengendalikan isu seperti perumahan dan pembangunan. Namun bagi saya, ada dua permasalahan berbeza berkait dengan isu ini:

i. Kemudahan kawasan perumahan

Sesiapa yang tinggal di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) tahu masalah tempat letak kereta adalah satu isu besar yang sukar diatasi.

Mungkin jawapannya ada pada perkara di atas - jika kemudahan pengangkutan awam memadai dan menyeluruh, mungkin kita tidak perlu membeli kereta dan cuma perlu menyewa bagi perjalanan-perjalanan tertentu?

Atau mungkin jawapannya ada pada reka cipta kawasan perumahan PPR itu sendiri? Adakah boleh diwujudkan sistem simpanan kereta disusun bertindan, seperti di negara lain?

Ada pelbagai isu yang lain, tetapi mungkin saya akan bincang dalam artikel yang berbeza.

ii. Pembangunan terlalu rancak

Sejak 2014, penduduk di Seksyen 5 dan 6 Wangsa Maju telah kuat bersuara menentang sebarang projek pembangunan di Bukit Dinding. Mereka risau kejadian seumpama Highland Towers dahulu akan berulang.

Pada masa yang sama, ramai menganggap Bukit Dinding sebagai keindahan alam sekitar yang patut disimpan malah berpotensi tinggi untuk aktiviti-aktiviti riadah seperti mendaki.

Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa akan terus bersikap telus dan terbuka di dalam perbincangan mereka dengan para penduduk malah juga pemaju yang mungkin berminat dengan kawasan tersebut.

Kita perlu mencari jalan penyelesaian yang seimbang antara warisan semula jadi dan pembangunan yang mampu menjana ekonomi.

Dalam rencana ini saya telah sedikit sebanyak melakarkan beberapa masalah serta cadangan saya khusus untuk Setiawangsa.

Tetapi saya percaya, satu dialog atau perbincangan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu diadakan demi mengenal pasti isu-isu, impian malah harapan rakyat, demi masa depan yang lebih baik.

Selamat menyambut Hari Wilayah ke-42!


FAHMI FADZIL Pengarah Komunikasi PKR merangkap naib Ketua Pemuda PKR serta penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat PKR Setiawangsa.