Kempen tandatangan: MCA bakal bergelora semula?
Selepas Umno dan MIC menghadapi krisis kepimpinan parti, satu lagi sekutu BN, MCA nampaknya bakal menyaksikan percikan ‘bunga api’ selepas sambutan Tahun Baru Cina?
Parti komponen kedua terbesar BN itu dijadual mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada tahun ini untuk meminda perlembagaannya supaya sistem pemilihan pemimpin dapat diperluaskan.
Namun ini boleh bertukar menjadi impian ngeri bagi presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
EGM itu bertujuan mendapatkan mandat supaya pemilihan parti yang sekarang ini ditentukan oleh 2,375 perwakilan pusat ditambah kepada 40,000 wakil bahagian.
Namun, Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong Yong bersama-sama dengan ahli-ahli jawatankuasa pusat Ei Kim Hock dan Ooi Siew Kim didakwa sedang melancarkan kempen yang mungkin menjejaskan kedudukan Liow.
Tee Yong secara kebetulan adalah anak bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyaksikan dirinya berkuasa melalui EGM selepas meletak jawatan kerana skandal seks sebelum ini.
Dalam surat yang diedarkan di media sosial di kalangan pemimpin MCA, kumpulan ini menuntut supaya perwakilan dibenarkan mengundi secara rahsia sama ada untuk meminda perlembagaan.
Mereka juga telah meminta parti itu tidak menangguhkan pemilihan MCA yang sepatutnya diadakan setiap tiga tahun.
Liow dan penyokongnya, bagaimanapun, memilih pengundian secara terbuka dengan perwakilan mengangkat tangan sebagai tanda sokongan.
Menurut sumber, satu kempen tandatangan telah dianjurkan oleh puak yang menentang cara pengundian terbuka kerana ia didakwa akan membolehkan mereka yang berkuasa untuk memanipulasikan keadaan.
Difahamkan bahawa pengundian terbuka bagi meminda perlembagaan parti yang dicadangkan itu akan mengurangkan risiko kegagalan meluluskan usul berkenaan.
Ini kerana mereka yang tidak mengangkat tangan akan dianggap sebagai penentang.
Menurut sumber, Liow dilaporkan berang dengan kempen tandatangan yang dilancarkan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang bertentangan dengan kepimpinan.

